Hiburan
Beri Fokus Pada Aplikasi Penghantaran Makanan, Fikry Ibrahim Takkan Tinggalkan Lakonan
Pelakon Fikry Ibrahim tidak akan meninggalkan dunia lakonan biarpun dia kini memberikan fokus terhadap bidang perniagaan.
Fikry baru sahaja melancarkan aplikasi penghantaran makanan Go Eat dan menerusi bisnes terbabit, bintang kelahiran Lawak Solo ini bertindak selaku pengasas bersama.
"Biarpun kini saya memberikan fokus terhadap bisnes, saya tak akan tinggalkan dunia lakonan. Bidang terbabit sudah menjadi minat saya.
"Mana mungkin saya akan terus melupakan bidang seni kerana karier ini yang memperkenalkan nama saya. Tetapi, saya akui saya harus membahagikan masa dengan sebaik mungkin agar kedua-duanya berjalan seiringan," katanya.
Fikry ditemui di majlis pelancaran Go Eat di Damansara Perdana, baru-baru ini.
Tambah Fikry, aplikasi penghantaran makanan ini berbeza kerana Go Eat juga menawarkan servis daripada mereka yang berniaga dari rumah.
"Sebenarnya, idea untuk menyediakan perkhidmatan ini terbit selepas saya melihat ramai peniaga yang hanya berbisnes dari rumah secara kecil-kecilan.
"Menu yang ditawarkan sangat enak tetapi bisnes mereka kurang mendapat pendedahan dan masih belum berjaya. Jadi, menerusi aplikasi penghantaran makanan Go Eat, ia akan membantu mereka," katanya lagi.
Dalam pada itu, pengasas Go Eat, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman berkata, platform ini sudah mengumpulkan lebih 5,000 'rider' yang berdaftar dan bakal memulakan operasi tidak lama lagi.
"Setakat ini, ramai yang sudah menunjukkan minat terhadap Go Eat dan maklum balas yang kami terima sangat positif.
"Merupakan 100 peratus buatan Malaysia, ia juga dapat membuka peluang kerja yang lebih baik kepada mereka di luar sana. Aplikasi Go Eat boleh dimuat turun di Apple AppStore dan Google PlayStore," kata Khairul.
Must-Watch Video