DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 10 kereta Perodua Myvi kepada 10 jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Menerusi hantaran terbaharu di laman sosial Facebook rasmi Baginda, pemberian itu bagi menzahirkan penghargaan di atas sumbangan serta khidmat mereka kepada Baginda dan juga Keluarga Diraja Johor.

Penyelia Jururawat, Matron Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak tahun 2006, melahirkan perasaan syukur di atas kurniaan berkenaan.

"Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda Tuanku Sultan di atas kurniaan ini.

"Besar sungguh nilainya kepada kami semua, dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan DYMM Sultan Johor serta Keluarga Diraja Johor," maklum hantaran berkenaan pada Selasa (29 September).

Kenderaan berkenaan disampaikan kepada mereka dalam satu majlis di Kasawari Motors Sdn. Bhd. di Larkin, Johor Bahru oleh Pengarah Kasawari Motors, Muhammad Fahmi Datuk Seri Paduka Dr.

Turut berkongsi perasaan syukur, Nuraini Aziz, 28, yang hadir sendiri untuk menerima kenderaan berkenaan walaupun masih dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak tiga hari yang lalu.

"Saya bersyukur kerana dapat hadir kerana ini merupakan satu kenangan yang sangat istimewa. Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada DYMM Sultan Johor dan Keluarga Diraja Johor," katanya.

SULTAN JOHOR KURNIA KERETA KEPADA 10 JURURAWAT WAD DIRAJA HOSPITAL SULTANAH AMINAH DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim...

Posted by Sultan Ibrahim Sultan Iskandar on Monday, 28 September 2020

Sumber/foto: Facebook @officialsultanibrahim