Seorang pelukis mural, Suhaimi Ali telah mengabadikan beberapa wajah kebanggaan negara menerusi lukisan mural sebagai tanda menghargai jasa dan keprihatinan wira negara dalam menghadapi pendemik ini.

Menerusi laman sosial Facebook, Suhaimi memuat naik foto-foto karya seninya untuk tatapan umum sehingga ia tular.

“Pemimpin menjadi hebat bukan kerana kuasanya tetapi kerana kebolehan mereka memperkasakan orang lain.



“Terima kasih Agong dan barisan hero kita,” tulis anak Terengganu ini sebagai kapsyen.

Antara wajah-wajah kebangaan yang menjadi tumpuan mural ini adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tidak dilupakan wajah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang menjadi kesayangan rakyat Malaysia turut disemadikan.

Suhaimi turut berkongsi foto-foto proses melakar dan melukis dengan menggunakan strok tona yang berbeza-beza namun kelihatan sangat kemas.

Malah di Twitter, lukisan ini turut mendapat perhatian Dr Noorhisham yang memuji hasil karya tersebut.



“Awesone, anda semua sangat berbakat dan luar biasa. Well done,” tulisnya menerusi satu kicauan.

Hasil tinjauan Gempak di ruangan komen, rata-rata wargamaya memuji hasil lukisan Suhaimi yang cukup cantik.

“Thumb up guy, kemah keming,” puji seorang wargamaya.

“Superb dab amazing Mie, stay cool dan keep humble bila sudah dipuncak ya. Moga Allah murahkan rezeki Mie,” komen seorang wargamaya.

“Karya yg cukup hebat, menarik. TAHNIAH,” kata seorang wargamaya lagi.

Lukisan mural tersebut dihasilkan di Taman Cahaya Alam seksyen U12, Shah Alam di belakang Restoran Isa Maju.