Menteri kanan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan kata-kata semangat kepada Alif Satar yang kini sedang menjalani rawatan selepas disahkan positif COVID-19.

Menerusi laman sosial Instagram pereka fesyen terkenal Datuk Jovian Mandagie yang juga merupakan menantunya, Ismail Sabri bergambar bersama cucu kesayangan, Jeanelle Nika Mandagie sebagai tanda sokongan kepada Alif.

“Ini untuk awak brother @alifsatar. Saya harap gambar ini menceriakan hari awak serta saya mendoakan awak dan keluarga terus dilindungi.

“Semoga awak cepat sembuh dan dapat kembali di pangkuan keluarga. Atok mail @ismailsabri cakap terima kasih dan cepat sembuh Alif,” tulis Jovian sebagai kapsyen.

A post shared by Jovian Mandagie (@jmandagie)


Menerusi perkongsian itu lagi, dilihat Ismail Sabri turut menerima sejadah boleh sandar pemberian Alif untuk digunakan semasa solat.

Malah, Alif turut meninggalkan komen pada hantaran tersebut dengan mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan dan kata-kata semangat yang diterimanya.

“Ameen, alhamdulillah terima kasih untuk ini brother. Harap Tok Mail suka sejadah tersebut,” tulis Alif yang kini sedang menjalani rawatan dan proses kuarantin di Hospital Melaka.

Terdahulu, Alif disahkan positif COVID-19 pada 22 November lalu.

Selain Alif, ibu bapanya, Hafiza dan Satar Ramli, adiknya Jim Satar dan datuknya Mohammad Che Noh, 71, juga disahkan positif pada awal minggu ini.

Manakala isterinya, Sha Dila Hadid dan anak-anak Alif iaitu Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3 dan Muhammad Ali, 1, bebas dari jangkitan virus tersebut.

Alif yang kini beransur sihat dijangka akan discaj dari Hospital Melaka pada 3 Disember ini.