Pelakon Taiyuddin Bakar, 40, mengakui tidak kisah dengan kritikan segelintir pihak yang menganggap watak dilakonkan tidak selari dengan penampilan imej islamiknya.

Menurut pelakon Apa Celop Toqq yang mula berhijrah sejak 2012, dia tidak kisah untuk melakonkan apa sahaja watak asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam serta memesongkan akidah.

“Saya tidak kisah dengan cakap-cakap orang kerana saya mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga.

“Sebagai pelakon, saya hanya melakonkan watak seperti dikehendaki skripnya tetapi di luar saya kembali menjadi Taiyuddin yang sudah berhijrah,” katanya.

Takut ambil Taiyuddin berlakon

Mengenai imej islamiknya itu, kata Taiyuddin, ada juga penerbit dan pengarah yang takut untuk mengambilnya berlakon bila melihat penampilan imej islamiknya itu sebelum ini.

“Sebab itu, saya mencuba pelbagai watak untuk membuktikan kepada mereka supaya tidak menilai saya dari segi penampilan.

“Contohnya, saya lakonkan watak Sutun, watak antagonis dalam filem Walid.

“Manakala, dalam filem Mat Kola, saya juga melakonkan watak pemuda yang agak nakal dan cuba memikat gadis idaman yang menjadi rebutan dua sahabatnya,”katanya.

Watak Mat Not cabar Taiyuddin berdialog utara

Berkongsi lakonannya dalam filem genre komedi, Mat Kola arahan Hafiz Nafiah, kata Taiyuddin, dia melakonkan watak Mat Not dalam filem terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd itu.



Menurut pemenang trofi Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-24 ini, dia menerima tawaran berlakon dalam filem itu kerana Hafiz adalah kawan lamanya serta tahu kredibilitinya dalam bidang lakonan yang sudah diceburi sejak 21 tahun lalu.

“Saya juga teruja untuk berlakon dalam filem ini kerana ia peningkatan dalam karier Hafiz.

“Hafiz juga mahu saya berlakon dalam filem sulungnya itu dan saya juga berasa ada tanggung-jawab sebagai kawan untuk memberi sokongan padanya,” katanya.

Kata Taiyuddin lagi, dia juga tidak bertanya soal bayaran pun bila ditawarkan Hafiz berlakon dalam filem itu.

“Hafiz yang banyak membantu menguruskan urusan pengebumian arwah bapa mentua, pelakon veteran, Allahyarham Datuk Zulkifli Zain yang meninggal dunia pada 2020.

“Saya tidak tanya soal bayaran pun kerana khidmat Hafiz menguruskan urusan pengebumian arwah bapa mentua itu lebih bernilai,”katanya.

Rindu arwah bapa mentua

Ditanya dari segi cabaran pula, kata Taiyuddin, dia perlu bercakap dalam dialog utara dalam filem itu.

“Filem Mat Kola ini membuatkan saya berasa rindu pada arwah bapa mentua kerana kami selalu bercakap dialog utara dan penggambaran filem ini di Alor Star juga memang tempat arwah.

“Pada masa sama, saya perlu berlakon dengan gandingan yang bukan pelakon komedi dan tidak pernah bekerjasama sebelum ini,”katanya.



Filem Mat Kola berkisar persahabatan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki lakonan Usop Mentor, Mat Yon (Azman) dan Mat Not (Taiyuddin).

Filem Mat Kola berkisar persahabatan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki lakonan Usop Mentor, Mat Yon (Azman) dan Mat Not (Taiyuddin).

Antara lain, plot cerita berkisar gelagat dan liku dilalui tiga sahabat itu dalam mengusahakan gerai burger yang menjadi sumber ekonomi golongan belia.

Selain Usop, Azman dan Taiyuddin, filem Mat Kola menampilkan Rozita Che Wan yang melakonkan watak (Che Som); Ropie (Pak Sheikh); Putri Hanan (Maliah); Fendi London (Bang Lah) dan Mohd Hafeezul Yop (Joe Klipop).

Turut membantu Abang Gee (Abang Gee); Zainon Ismail (Bang Non); Suhaili Che Rus (Zali); Cikgu Akop (Pak Hashim) dan Pak Abang (Badrul).

Filem Mat Kola mula ditayangkan di 65 pawagam di seluruh negara mulai 21 September lalu.