Peminat-peminat genre seram kini boleh menerokai pengalaman seram yang baharu dengan siri SYOK Remang, drama audio seram yang pertama dalam Bahasa Melayu, di Malaysia, eksklusif di aplikasi SYOK.

SYOK Remang memanfaatkan minat serta kecenderungan golongan masa kini yang masih mencari-cari kisah seram tradisional, serta meneruskan aspirasi Astro Radio untuk membawakan satu lagi pengalaman baharu radio digital melalui SYOKcast (podcast).

Drama audio ini bukan sahaja bertujuan menghiburkan, malah juga unik, asli dan provokatif dengan jalan penceritaannya yang mengadun dan mengolah kembali kisah-kisah yang terisi dengan representasi makhluk-makhluk mistik, untuk membawa para pendengar ke dimensi lain yang mendebarkan.

Di samping itu, kisah-kisah yang dipaparkan dalam SYOK Remang menyentuh isu-isu sosial yang sedang melanda masyarakat kita dengan mesej di penghujung ceritanya, sebagai renungan dan teladan.

Ditulis oleh Rosie Haslinda Nasir, penulis buku dan Hakimi As'ari, pakar industri komunikasi dan video, dan disuarakan oleh Rosie Haslinda Nasir, siri SYOK Remang terdiri daripada lima episod yang bertajuk:

o Hantu Buluh Hutan Kuala Boh (Episod 1)
o Bahana Memakai Susuk (Episod 2)
o Misteri Janin Menangis Di Rumah Sewa No. 43 (Episod 3)
o Bertemu Dengan Saka Harimau (Episod 4)
o Diganggu Penunggu Hotel (Episod 5)

Episod 1 sudah disediakan di aplikasi SYOK, dalam kategori SYOKCasts dan peminat-peminat boleh dengarkan episod-episod SYOK Remang seterusnya setiap hari Khamis!