Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

‘Berita’ Manchester United Digelar Sampah Terpapar, Stesen Televisyen Mohon Maaf

Maliah Surip
25/05/2022 00:45 MYT
Stesen televisyen antarabangsa, BBC, memohon maaf selepas tajuk berita kecil yang mungkin menimbulkan kemarahan penonton dipaparkan sewaktu laporan terkini mengenai sebuah pertandingan tenis berlangsung.

Tajuk berita tersebut yang berbunyi; ‘Manchester United are rubbish (Manchester United Adalah Sampah’ telah dipaparkan secara tidak sengaja oleh stesen tv tersebut.

Menerusi seorang pembaca beritanya, Annita Mcveigh, menjelaskan ‘berita’ atau tulisan yang muncul dalam laporan sukan tersebut tidak melambangkan pandangan BBC.

Malah bukan sahaja ticker tersebut dipaparkan dengan berita Manchester United adalah sampah, ia juga diikuti dengan ‘berita’ ‘Cuaca hujan di semua tempat’.

Sebaliknya, terdapat ‘seseorang’ di belakang tabir yang sedang belajar mengoperasikan ticker (mesin elektronik yang memaparkan data atau informasi) dan menulis perkataan secara rawak.

“Tadi, mungkin ada dalam kalangan penonton yang perasan sesuatu yang aneh bergerak bersama ticker yang memaparkan berita di sebelah bawah laporan kami.

“Ia adalah komen mengenai pasukan bolasepak Manchester United. Saya harap tidak ada penyokong dan peminat MU terasa dengannya.

“Mari saya jelaskan apa yang terjadi; di sebalik tabir ada seseorang yang sedang berlatih menggunakan ticker dan telah menulis secara rawak tanpa mempunyai agenda. Dan ia secara tak sengaja telah terpapar di kaca tv.

“Kami meminta maaf kepada semua peminat Manchester United jika ia menyinggung kalian,” jelas Mcveigh panjang lebar.

Meski demikian, BBC tetap mengaku ia sebagai sebuah kesilapan yang tidak patut berlaku.

“Kami memohon maaf terhadap kekhilafan yang telah berlaku,” tegas stesen tv tersebut lagi.

Untuk rekod MU sedang berhadapan kepayahan kembali mencapai standard mereka dalam musim ini dan telah terlepas mengikuti Champions League.

BCC pula selalu menjadi sumber berita yang dipercayai seluruh dunia.

#Manchester United #maaf #BBC #Sampah #TV #MU
;