HIBURAN
Berjalan Tengah Malam Dengan Berseluar Dalam, Penyanyi Rap Terkenal Ditahan Polis
Penyanyi rap terkenal, Lil Nas X dilaporkan ditahan polis selepas ditemui berjalan hampir bogel di Los Angeles awal pagi Khamis lalu.
Memetik laporan TMZ, pelantun lagu popular Old Town Road itu dilihat hanya memakai seluar dalam dan but koboi putih ketika berjalan di tengah jalan utama di bandar tersebut.
Menerusi sebuah rakaman video yang tular, penyanyi berusia 26 tahun itu mengingatkan individu yang merakamnya untuk tidak lambat ke parti.
Bagaimanapun, tidak jelas parti mana yang dimaksudkan atau ke mana arah tujuannya ketika itu.
“Jangan lambat datang ke parti malam ini,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut meminta individu yang merakam supaya menyerahkan telefon agar dapat dibuang jauh.
“Saya nak buang jauh-jauh supaya awak tak akan nampak lagi. Saya tak suka telefon,” Bukankah saya dah suruh letak telefon? Haa… nampaknya ada orang kena bayar untuk itu,” tambahnya.
Jurucakap Los Angeles Police Department (LAPD) mengesahkan pihak mereka menerima laporan mengenai seorang lelaki berbogel berjalan di jalan raya sekitar kawasan Studio City sebelum subuh.
Walaupun pihak polis tidak mendedahkan identiti individu berkenaan, foto yang diterbitkan oleh TMZ jelas menunjukkan figura flamboyan itu memakai kon trafik di kepalanya.
Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi diberikan oleh Lil Nas X atau wakilnya mengenai kejadian tersebut.
Must-Watch Video