Pelakon Eyra Hazali, 22, mendedahkan anak lelakinya, Muhammad Hayder Qhalish mengalami demam panas selepas terpaksa berjauhan dari ayahnya, Muhammad Haziq Nadzli yang merupakan penjaga gol JDT.

Difahamkan, Haziq kini berada di Bangkok, Thailand bagi mengharungi saingan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) bermula Selasa ini.

"Hayder masih demam lagi tapi dah kembali aktif selepas saya mandikan dia petang tadi (Ahad).

"Ramai yang DM dan perasan bila Haziq away game, Hayder mesti ke hospital. Dia memang tak boleh berjauhan dari Haziq.

"Kali ini dalam sebulan juga termasuk dengan tempoh kuarantin. Sekarang Hayder dah pandai merajuk, tak nak video call dengan Haziq. Nasib la tak lama merajuk dia," katanya.



Tambah pelakon utama drama Mr. Grey, dia bersyukur kerana ditemani ahli keluarganya sepanjang berada di hospital.

"Kebetulan saya berada di Kuala Lumpur untuk suntik vaksin dan temu janji doktor, jadi memang ahli keluarga yang teman dan urus di hospital," kata Eyra.

Dalam pada itu, pelakon filem M4M4 mengakui Haziq sangat tenang dalam mengurus situasi walau sedang berjauhan.

"Haziq tenang di Thailand, saya yang menangis. Saya rasa dia tak nak buat saya rasa down, itu yang dia relaks.

"Kelmarin (Sabtu) pun dia tunggu sampai Hayder keluar dari hospital iaitu dalam pukul 3 pagi waktu Thailand," katanya lagi.

Sebelum ini, di Instagram Stories, Eyra berkongsi keadaan Hayder yang mengalami demam panas dan muntah sehinggakan terpaksa dikerjakan ke wad kecemasan.

Eyra mendirikan rumah tangga dengan Haziq pada 1 November 2019 dan dikurniakan cahaya mata pertama iaitu Hayder pada 14 Ogos 2020.