Sejak kebelakangan ini, nama usahawan kontroversi Nur Sajat sering menjadi bualan masyarakat, terutamanya di media sosial.

Selain kisah berkaitan undang-undang yang dilihat masih belum selesai dan isu lelongan asetnya di Kuala Lumpur, Sajat turut menjadi bahan bualan selepas mengaku mahu membuka perniagaan di Australia.

Sungguhpun ramai yang tertanya-tanya tentang kesahihan perancangannya itu, namun Sajat akhirnya membuktikan bahawa cita-cita untuk membuka perniagaan di negara orang bakal menjadi kenyataan.

Menerusi kemaskini terbaharu di Instagram, Sajat berkongsi dokumen pendaftaran perniagaannya di sana

“Alhamduillah… Tunggu pembukaan Nur Sajat Legacy Cosmetics di Sydney. Janji tetap janji. Team Sajat akan berkepak di Australia.

“Sajat bersyukur sangat dengan team Sajat di Australia. Yang mana nak bekerja dengan Sajat, kamu dah bersedia nak berhijrah kerja di luar negara? Bulan 4 atau 5 Sajat akan buka perniagaan Sajat. Tunggu,” katanya sambil memberitahu akan berkongsi perkembangan terkini dari masa ke masa.

Meninjau ruangan komen, rata-rata pengikutnya mengucapkan tahniah atas kejayaan pembukaan perniagaan di bumi orang itu.

“Semangat Sajat tak semua orang ada. Pelbagai cemuhan dan kejian sampai dia lari menumpang negara orang. Tapi dia tetap buktikan dia boleh hidup dan bangkit semua dari bawah tanpa menjual diri.

“Memang salute sangat. Korang jangan cerita bab dosa dia. Itu antara dia dengan Allah. Saya komen bab semangat dia,” tulis seorang pengikut.

Dalam pada itu, menerusi balasan daripada pertanyaan pengikut yang lain, Sajat memberitahu yang perniagaan bengkung miliknya di Malaysia masih lagi berjalan seperti biasa.