Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Berkahwin Buat Kali Kedua, Zul 2 By 2 kini Bapa Kepada 9 Orang Anak

Izwan Isa
26/03/2022 13:50 MYT
Umum mengetahui penyanyi Zul 2 By 2 baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 23 Februari lalu. Zul, yang sedia mempunyai lima orang anak hasil perkahwinan terdahulu mendirikan rumah tangga bersama Intan Maya yang sudah pun memiliki empat cahaya mata.

Menurut Zul, 50, dia tidak menolak jika dia dan isteri diberi rezeki untuk menerima anak pada masa akan datang.

“Isteri saya ada empat orang anak, saya pula ada lima cahaya mata. Jadi kami ada sembilan orang anaklah,” katanya.

Intan pula berkata yang Zul bergurau dengannya dan menginginkan pasangan kembar jika diberikan rezeki.

“Zul ada bergurau dengan saya, dia kata kalau boleh mahu kembar memandangkan saya turut dikurniakan pasangan kembar sebelum ini.

“Buat masa ini, kami tidak merancang. Kalau ada, kami bersyukur,” kata Intan yang juga merupakan bekas anggota kumpulan The Girls.

Melanjutkan bicara, Zul turut menzahirkan rasa syukur apabila perkahwinan kedua mereka dipermudahkan.

“Sudah lebih empat tahun saya menduda sebelum kembali bergelar suami sekitar sebulan lalu. Sebelum ini, hati saya belum terbuka. Namun, bila kami bertemu pada Ramadan tahun lalu, perasaan itu hadir.

“Ada banyak ciri padanya buatkan saya tertarik. Dia juga pandai masak. Saya harap dengan perkahwinan kali ini, biarlah ia menjadi yang terakhir. Masing-masing sudah ada pengalaman baik yang manis atau sebaliknya. Jadi kita jadikan apa yang pernah dilalui sebagai iktibar.

“Dulu ketika mula-mula kenal, tidak lebih sebagai rakan artis sahaja. Dia bersama kumpulan The Girls dan saya anggota 2 By 2. Selepas itu sekitar April tahun lalu, saya tegurnya pada satu majlis dan sejak itu kami mulai rapat. Daripada situ timbulnya keserasian,” katanya lagi.

Pasangan selebriti ini selamat diijab kabulkan sebagai pasangan suami isteri di masjid Taming Jaya, Balakong pada 22 Februari lalu.

Sebelum mendirikan rumah tangga, Zul dan Intan terlebih dulu mengikat tali pertunangan pada Jun 2021.

Zul bersama kumpulan 2 By 2 yang sinonim menerusi lagu duet Kau Mawarku bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza sebelum ini berkahwin dengan dengan penyanyi, Ismaliza Ismail atau Isma AF7 sebelum mereka berpisah pada 2018.
#Anak #Intan Maya #Zul 2 By 2
;