Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Berkaki Ayam Naik Sampan, Sampai Uniform Kena Lumpur, Ramai Salut Kakak Misi Ini

Gempak
02/12/2023 12:50 MYT
Pakaian uniform putih yang disarung dibadan bersalut lumpur selain terpaksa berkaki ayam ketika menaiki sampan mengundang rasa kagum warganet terhadap seorang jururawat yang sedang bertugas di Bengkoka, Pitas.

Video berdurasi tiga minit 25 saat yang ditularkan di Facebook memaparkan seorang jururawat terpaksa menyeberang Sungai Bengkoka untuk ke rumah seorang ibu yang baru bersalin di perkampungan tersebut.

Keadaan panas terik dan terpaksa meredah sungai tersebut menyebabkan warganet terharu dengan pengorbanan jururawat tersebut yang menjalankan tanggungjawabnya.

Pemilik akaun Facebook, Anizah Hamidah yang meninggalkan komen memuji semangat jururawat tersebut yang kuat dan ikhlas dalam memberikan perkhidmatan kepada ibu di perkampungan tersebut.

Mosilin Malaku pula berkata, tugas jururawat sangat mencabar terutama di kawasan pedalaman.

"Kasihan juga, mereka pun berusaha menunaikan tanggungjawab masuk di kampung-kampung pendalaman," tulisnya di ruangan komen.

Sementara itu, Siti Edda yang menamakan jururawat tersebut sebagai Kak Jai memuji kakitangan dari Klinik Mandurian di kawasan tersebut.

"Kasihan Kak Jai, kotorlah bajunya. Terbaik staf Klinik Mandurian," katanya.

Sejak dimuat naik dua hari lalu, video tersebut mendapat lebih 500 komen, dikongsi 891 pengguna Facebook dan 178,000 menontonnya.

Sumber: Sinar Harian

#Jururawat #Sabah
;