Rapper terkenal Amerika Syarikat yang merupakan penerbit dan deejay, Jonathan H. Smith telah memeluk Islam dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Dikenali dengan nama komersial Lil Jon, rapper tersebut memeluk Islam di Masjid King Fahad di Culver City, California pada 15 Mac 2024, lapor IslamiCity.

Berusia 52 tahun, dia dilihat melafazkan kalimah syahadah dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris di masjid tersebut seperti video yang tular.

Pemenang Grammy Award untuk lagu Yeah! Dalam kategori Best Rap/Sung Performance ini kemudian berkongsi khabar gembira penghijrahannya itu menerusi platform Instagram.

Dia juga dilihat menulis kalimat ‘Alhamdulillah’ pada bahagian kapsyen sebelum disokong ramai peminat.

Lil Jon menjadi figura terkenal Amerika Syarikat yang memeluk Islam pada Ramadan tahun ini selepas aktivis dan penulis Shaun King menjadi mualaf pada hari pertama berpuasa.