Hiburan
Berlakon Dalam Asmara The Series, Amir Masdi Mengaku Susah Serasi Dengan Heroin
Penyanyi yang juga juara program Akademi Fantasia (AF) 2016, Amir Masdi mengakui sukar untuk mencari keserasian dengan Dhia, dalam Asmara The Series.
Amir berkata, selain pertama kali melakonkan watak berbeza dia juga baru bersua muka dengan Dhia untuk menjayakan muzik video single terbarunya, Asmara.
Bagaimanapun menurut Amir, dia berterima kasih kepada pengarah, Khairul Hazwan (KH) yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang enam hari di lokasi.
“Konsep, jalan cerita dan skrip semuanya daripada Abang KH. Dia banyak beri tunjuk ajar pada saya. Diakui, berlakon bukan mudah dan saya memang kekok. Ini pertama kali saya berlakon dengan karektor berbeza.
“Dalam masa sama, ini juga pertama kali saya berjumpa Dhia iaitu pelakon wanita dalam siri ini. Jadi, nak mendapatkan keserasian memang sukar. Atas nasihat dan tunjuk ajar, saya mampu juga buat dan habiskan penggambaran mengikut waktu.
“Pastinya, ini satu lagi pengalaman baru untuk saya. Saya berharap, siri ini akan mendapat sambutan dan orang suka dengan jalan cerita dipaparkan,” katanya.
Untuk menampilkan kelainan, video muzik Asrama dirakamkan dalam bentuk siri yang ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos.
Siri yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Sandakan, Sabah itu diterbitkan sebanyak empat episod dan satu episod khas menerusi muzik video rasmi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Menurut Amir, 24, atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi berkata, penamat kepada jalan cerita itu akan dipaparkan dalam muzik video Asmara.
“Siri ini ada empat episod dan penamat jalan cerita pada muzik video rasmi. Kiranya, kalau peminat dan penonton ingin tahu keseluruhan jalan cerita kena menonton daripada episod pertama.
“Kalau menunggu muzik video saja, memang tidak akan faham. Sebabnya, dalam muzik video nanti adalah pengakhiran cerita ini.
“Bagi saya, ini sesuatu yang baru dalam penerbitan muzik video. Kebiasaannya orang buat filem pendek satu episod saja, tapi saya dan pasukan inginkan kelainan. Jadi, lahirlah idea untuk menghasilkan Asmara The Series ini,” katanya.
Menariknya, ini pembabitan pertama Amir dalam bidang lakonan semata-mata untuk menjayakan MV Asmara.
Amir berkata, jalan cerita siri ini berkisarkan kisah cinta remaja masa kini.
“Ia tidak ada kaitan dengan saya pun. Secara peribadi, saya tidak pernah melalui kisah yang dipaparkan dalam siri ini. Ia memang dibuat khas untuk muzik video Asmara,” katanya.
Episod pertama Asmara The Series sudah ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos sejak 16 Januari lalu.
Manakala, episod seterusnya pula akan ditayangkan pada setiap Jumaat. Setiap episod berdurasi empat minit.
Terdahulu, single Asmara terbitan Nova Music dan Seventeen Eleven Music itu dilancarkan pada 26 Disember lalu.
Apa yang menarik, single itu dipilih menjadi lagu tema drama Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis lakonan Nafiz Muaz dan Uqasha Senrose yang ditayangkan di slot Drama Vaganza saluran Astro Ria.
Asmara adalah hasil ciptaan komposer Ikhwan Fatanna, Ayden Ali dan John Jeevasingham, manakala lirik pula ditulis bersama penerbit drama berkenaan iaitu Arisz Ab Rahman.
Must-Watch Video