Berita
Berlakon Dengan M.Nasir Penghargaan Bagi Saya - Faye Kusairi
Pelakon Faye Kusyairi akui gementar apabila pertama kali digandingkan dengan M.Nasir dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba.
Menurut Faye, 30, dia menganggap gandingan bersama M.Nasir merupakan satu penghargaan sepanjang bergelar seorang anak seni.
"Pada mulanya saya amat takut untuk berlakon dengan M.Nasir kerana dia mempunyai wajah yang serius dan perwatakan tegas.
"Namun apabila sudah mengenali M.Nasir dengan lebih dekat ternyata dia merupakan seorang kelakar dan tidak seperti apa yang saya bayangkan awal-awal dulu.
"Saya sangat beruntung kerana diberi peluang untuk berlakon dengan M.Nasir dan ternyata itu merupakan penghargaan bagi saya walaupun baru menapak beberapa tahun dalam industri," katanya kepada Astro Gempak.
Faye berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Malam Gala Filem Tombiruo, di MBO The Starling, Damansara, baru-baru ini.
Tombiruo: Penunggu Rimba memaparkan kisah Ejim digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba. Lelaki yang sentiasa bertopeng ini disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia.
Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam. Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya. Pergelutan di antara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing.
Kepada yang belum menyaksikan filem ini, anda boleh saksikan filem Tombiruo di pawagam di seluruh negara.
Layari laman sesawang www.tombiruomovie.com serta laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta Youtube Astro Shaw dan Astro Gempak untuk berita dan informasi terkini.
Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #tombiruo, #tombiruomovie dan #penunggurimba sebagai tanda sokongan pada filem ini.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Must-Watch Video