Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
GAYA HIDUP

Berlari Sambil Berbaju Melayu & Kebaya, Muadzam Lebarun Tarik Minat Lebih 400 Peserta

Gempak 28/04/2025 | 16:54 MYT
Lebih 400 peserta membanjiri Dataran Muadzam Shah pada 19 April 2025 bagi menyertai program MUADZAM LEBARUN 2025, sebuah inisiatif anjuran Politeknik Muadzam Shah bersama Majlis Daerah Rompin dan Pejabat Belia & Sukan Rompin.
Bertemakan Langkah Ceria, Kilometer Raya, acara ini diraikan sebagai platform untuk memupuk gaya hidup aktif, mempereratkan hubungan komuniti serta menyemarakkan semangat Syawal.
Program ini merupakan projek berimpak tinggi hasil cetusan pelajar semester 4 Diploma Pelancongan Rekreasi, Jabatan Pelancongan, Politeknik Muadzam Shah sebagai sebahagian daripada kursus Recreational Planning & Programming.
Ia mempamerkan kebolehan pelajar dalam merancang dan melaksanakan program berskala besar, dengan komitmen tinggi untuk mendekatkan pendidikan dengan komuniti.
Tidak hanya sekadar acara larian santai, Muadzam Lebarun 2025 turut menyuntik kelainan apabila peserta berlari lengkap berbaju Melayu dan baju kurung raya, sambil disajikan juadah tradisional seperti ketupat palas, nasi impit, dan kuih raya di setiap checkpoint menambah keunikan sambutan Syawal dalam suasana yang aktif dan meriah.
Selain larian, program turut diserikan dengan pelbagai pameran interaktif seperti booth pendidikan oleh Politeknik Muadzam Shah, pemeriksaan kesihatan percuma dari Pejabat Kesihatan Daerah Rompin, pameran pertahanan awam oleh APM Rompin, dan gerai jualan produk tempatan.
Ia sekaligus membuka peluang untuk pendidikan kesihatan, memperkasakan perniagaan komuniti dan mengeratkan hubungan sosial.
Aspek keselamatan acara diperkukuhkan dengan kerjasama strategik agensi seperti IPD Rompin, JPJ Muadzam Shah, JKR Rompin, dan SWCorp Muadzam Shah.
Majlis turut dirasmikan oleh YB Dato’ IR Razali bin Kassim (DIMP), EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang merangkap ADUN Muadzam Shah, yang memuji usaha penganjur dalam membina perpaduan dan mempromosikan gaya hidup sihat dalam komuniti.
Salah satu tarikan utama program adalah Pertandingan Permainan Tradisional seperti ceper, congkak, baling tin, capteh, tengteng, batu seremban dan dam haji, yang bukan sahaja menceriakan suasana, tetapi juga memperkenalkan warisan budaya kepada generasi muda.
Program ini mendapat sokongan padu daripada penaja-penaja utama seperti Maxis Communication Bhd, Kerajaan Negeri Pahang, Elgini Sdn Bhd, Rentas Adventures Adren X, dan FML ZI Valuers & Property Consultants.
Kejayaan acara ini turut didokong oleh barisan penasihat program, Puan Nur Shafinda Wani Binti Shaikh Azmee, Puan Suriyati Binti Tajrud-din dan Puan Nabila Farhana Binti Mohamad Isa dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, yang membimbing pelajar dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.