Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Berlatih Lebih Sepuluh Jam, Alif Satar Risau Suara Hilang

Kamaruddin Razal 28/12/2016 | 12:30 MYT
Pelakon Alif Satar akui risau suaranya hilang menjelang pementasan teater dia Semanis Honey tidak lama lagi.
Memegang watak utama sebagai Ahnaf Wafiy, Alif memberitahu perlu membawakan karakter tersebut dengan baik lebih-lebih lagi apabila melihat sambutan yang diberikan oleh peminat ketika drama tersebut disiarkan di kaca televisyen.
"Betul-betul menguji fizikal dan cara kerja untuk teater ini sangat tinggi.
"Setiap hari ada latihan dan kadang-kadang sampai menjangkau lebih 10 jam.
"Dan sekarang boleh katakan dah 85 peratus saya dah hafal lirik untuk lagu-lagu dalam teater tersebut.
"Cuma apa yang merisaukan saya ialah suara, bukan kita minta hilang suara tapi rasa khuatir itu tetap ada.
"Berlatih dan menyanyi setiap hari membuatkan suara saya agak serak. Tapi setakat ini Alhamdulillah semuanya baik-baik saja," katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Alif juga turut meluahkan rasa teruja untuk pementasan Dia Semanis Honey yang bakal dipentaskan pada 3 Januari depan.
"Jujur saya katakan memang rasa teruja dan saya pun tak pernah kongsi satu pentas nyanyian bersama Siti Nordiana.
"Apatah lagi berlakon, menyanyi dan menari bersama secara live.
"Saya rasa muzikan itu pasti menjanjikan sesuatu yang menarik dan membuatkan penonton terhibur," ujarnya.
Pementasan Dia Semanis Honey yang diarahkan oleh pelakon Dira Datuk Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee ini akan dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Januari 2017.
Selain Alif Satar, pelakon lain yang terlibat ialah Siti Nordiana, Nadya Syahera, Datin Nina Juren, Dafi Ismail Sabri, Ungku Hariz serta Marsha Milan Londoh.
Tiket-tiket boleh didapati dengan harga antara RM 40 hingga RM180 di laman sesawang www.airasiaredtic.com.
Teks oleh: Mya Amri
Kredit foto: @hyperpicturessdnbhd
#Alif Satar #Dia Semanis Honey Muzikal
;