Penyanyi Siti Sarah meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir peniaga yang sanggup melakukan cara pemasaran produk dengan cara yang salah sehingga dilihat seperti tidak bermoral.

Bahkan, menurut Sarah, lebih mengecewakan katanya, ada peniaga yang seolah-olah sudah melampau sehingga sanggup menjatuhkan maruah diri.

"Sebagai seorang wanita, Melayu dan Islam, saya harus bercakap benda ini. Saya rasa ramai orang di luar sana nak meniaga dan terikut-ikut cara perniagaan orang luar.

"Sampai kena menggoncang-goncangkan buah dada, kena separuh bogel, sampai menjatuhkan air muka. Sebagai seorang Islam, ada banyak lagi cara buat duit tanpa mengaibkan diri kita, tanpa perlu buat perkara yang menjatuhkan maruah," katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram.

"Ya semua orang buat silap, dalam dunia ni tak ada orang yang tak buat silap. Saya sendiri tak sesempurna mana sebab diri sendiri pun pernah seksi, jahil tapi tak sampai sanggup jual 'barang' untuk meniaga.

"Tergoncang, melompat, ada yang beromen atas katil ambil gambar. Dah makin lama makin ramai. Yang 'perempuan-perempuan' ni pun sama naik tak tahu dah yang mana lelaki yang mana perempuan," katanya yang kesal dengan sikap peniaga di media sosial.

Dalam video tersebut, Sarah yang juga merupakan seorang usahawan, membuktikan bahawa tanpa promosi 'murahan' dia juga mampu menjana pendapatan yang lumayan.

"Ya, faham .. ya korang kuat, tidak ada satu orang pun yang mampu menjatuhkan korang. Mungkin ada yang menjaga korang sebab tu makin lama makin menjadi.

"Korang ingat korang je dalam Malaysia ni yang buat duit? Sebab saya sendiri dah naik menyampah! Mari saya tunjuk, saya ni yang tak pernah nak tunjuk duit, meh sini saya nak tunjuk!

"Tak payah melompat goncang-goncang, tak payah terkinja-kinja ,tak payah tunjuk kulit pun boleh buat duit banyak! Dengan izin Allah, Allah maha besar Allah yang memberi rezeki," luahnya sambil menunjukkan wang tunai yang dipegang berjumlah RM200,000 hasil perniagaannya.