Hiburan
"Berniagalah Dengan Jujur & Jangan Menyalahgunakan .." - Nama Anak Digunakan Untuk Perniagaan, Siti Nurhaliza Harap Peniaga Tak Ambil Kesempatan
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan ramai pihak telah menyalahgunakan nama anaknya, Siti Aafiyah.
Menurut Siti dia telah menerima aduan wujud akaun Instagram (IG) yang menggunakan nama anaknya untuk aktiviti perniagaan.
"Terlalu banyak akaun yang menggunakan nama anak saya, Siti Aafiyah.
"Saya juga mendapat aduan daripada peminat-peminat saya yang prihatin apabila Instagram (IG) yang menggunakan nama Aafiyah digunakan untuk perniagaan pelbagai barangan dan sebagainya.
"Gambar di atas adalah salah satu akaun yang menjual produk menggunakan akaun bernama Aafiyah dan produk tersebut bukan daripada perniagaan saya," tulisnya.
Pelantun lagu Anta Permana itu memohon kepada semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan dengan nama anaknya.
Dalam pada itu, Siti berharap peniagaan yang dilakukan itu akan bersifat jujur terhadap pelanggannya.
"Saya sangat bermohon agar jangan mengambil kesempatan di atas nama Aafiyah apatah lagi terdapat beratus-ratus akaun di atas nama Aafiyah.
"Saya di sini sekali lagi ingin menegaskan bahawa Aafiyah tidak mempunyai akaun Instagram (IG) dan saya berharap anda tidak terpedaya jika ada yang menyamar atau menjual produk bukan dari perniagaan saya ataupun menggunakan akaun tersebut untuk tujuan-tujuan tidak baik.
"Berniagalah dengan jujur dan jangan menyalahgunakan nama Aafiyah," tulisnya lagi.
Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K bernikah pada 21 Ogos 2006 di Majlis Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Aafiyah dilahirkan pada 19 Mac lalu selepas pasangan itu menanti 11 tahun untuk menimang cahaya mata.