Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Berpisah Sebelum Coco Lee Meninggal Dunia, Suami Nafi Dituduh Tak Ambil Berat

Syafiqah Jalal
15/08/2023 23:02 MYT
Berpisah Sebelum Coco Lee Meninggal Dunia, Suami Nafi Dituduh Tak Ambil Berat

Ahli perniagaan Kanada, Bruce Rockowitz menepis dakwaan bahawa dia tidak mengambil berat tentang mendiang isterinya, penyanyi Hong Kong-Amerika, Coco Lee.

Rockowitz berdepan dengan kritikan berterusan sejak diva pop itu meninggal dunia pada 5 Julai lalu.

Pasangan itu dilaporkan sudah berpisah sebelum Lee meninggal dunia.

Malah semasa pengebumian Lee, Rockowitz dilempar dengan kata-kata hinaan oleh peminatnya di luar krematorium.

Baru-baru ini, satu klip audio yang dikatakan suara Lee, mengadu tentang Rockowitz tidak mahu menukar sistem karaoke rumah, tular di media sosial.

"Ketika Coco dan saya bercuti di Maldives pada musim panas lalu, dia memberitahu saya yang dia mungkin menghidap kanser.

"Saya segera mengaturkan agar dia kembali ke Hong Kong untuk menjalani pemeriksaan kesihatan," kata Rockowitz dalam kenyataan pada Selasa.

Lee kemudian terbang ke China sehari selepas menjalani pemeriksaan untuk merakam rancangan realiti nyanyian Sing! China, manakala dia berlepas ke Eropah untuk melawat keluarganya.

"Saya menerima berita bahawa Coco disahkan menghidap kanser payudara semasa dia dikuarantin di China. Dia memutuskan untuk kembali ke Hong Kong bagi mendapatkan rawatan perubatan selepas menamatkan rakaman program tersebut," kata Rockowitz lagi.

Lee merupakan salah seorang jurulatih (coach) dalam program tersebut.

Dalam kenyataan yang sama, Rockowitz memberi amaran agar semua pihak menghentikan dakwaan palsu terhadapnya, dan telah mengupah firma guaman untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang masih berdegil.

Sumber: Awani

;