Penyanyi dan bintang Gegar Vaganza 2019 (GV2019), Sham Visa berada dalam top 5 pencalonan bagi kategori Fesyen MeleTOP dalam Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Mengulas tentang pencalonan itu, Sham meluahkan rasa syukur, pada masa yang sama turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan dan jurugaya yang banyak membantunya.

"Saya baru sahaja meraikan ulang tahun ke-49, umur sudah meningkat, saya bersyukur kerana dicalonkan dalam kategori tersebut.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan dan jurugaya yang menguruskan saya sejak penglibatan dalam GV2019 sehingga kini, mereka telah banyak membantu saya," ujarnya.

Sham berkata demikian ketika ditemui di sidang media dan pengumuman senarai pencalonan top 5 AME2020 di Envi Skydining, Kuala Lumpur petang semalam.

Tambah Sham, dia telah membuat rujukan dari ikon fesyen di media sosial untuk dijadikan inspirasi dalam gaya hariannya.

"Saya memang suka bergaya, saya bukan sahaja menjaga penampilan ketika bekerja, tetapi turut cuba lakukannya di luar waktu kerja.

"Bagi saya, aspek penampilan itu penting, saya ada membuat beberapa rujukan dari ikon fesyen di media sosial, ada yang di dalam negara, ada juga di luar negara," ujarnya lagi.



Dalam kategori tersebut, Sham bersaing dengan empat bintang lain iaitu Fazura, Alif Satar, Mira Filzah dan Syafiq Kyle.

Dengan tagline ‘Yang Epik, Yang Legend’, AME2020 bakal bersiaran secara langsung pada Ahad, 21 April 2020, jam 9:00 malam bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.

AME2020 akan bersiaran secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Istimewa kali ini, pelanggan Astro yang memiliki dekoder Ultra Box boleh menyaksikan AME2020 daam format resolusi kualiti 4K UHD.

Untuk pilihan lebih fleksibel, AME2020 turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand.