Penyanyi rap, penulis lagu dan produser, Altimet menjelaskan dia telah menerima beberapa tawaran untuk berlakon dan mengacarakan program TV.

Menurut Altimet, persaraannya sebagai penyanyi pada tahun hadapan tidak bermaksud dia akan menghilang dari industri, sebaliknya dia mungkin muncul dalam bidang lain selain nyanyian.

"Saya telah menerima beberapa tawaran untuk berlakon dan mengacarakan program TV, namun saya sedang pertimbangkan perkara itu.

"Walaupun saya akan bersara sebagai seorang penyanyi, namun saya mungkin akan muncul dalam bidang lain selain nyanyian.

"Buat masa ini, saya sedang sibuk membuat persiapan untuk konsert terakhir saya, The Last Altimet Show yang akan berlangsung pada 16 Februari tahun hadapan," katanya kepada Gempak baru-baru ini.

Konsert yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur itu bakal menyaksikan persembahan akhir Altimet sebagai seorang penyanyi.

Bagi anda yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan konsert ini, tiket terhad Early Bird boleh didapati bermula harga RM 59 (presale) dan RM 109 (at door). Tiket terhad Eearly Bird ini boleh didapati menerusi altimet.com.my/Concert bermula 21 Disember 2018.