Hiburan
Bersesuaian Dengan PKP...Manap Karaoke Filem Pertama Melangkau Pawagam, Dibawa Terus Ke Rumah Anda!
Filem komedi terbaru arahan Mamat Khalid iaitu Manap Karaoke telah dibawakan secara terus ke pawagam rumah anda menerusi Astro First, saluran 480 mulai hari ini.
Bersesuaian dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita, Manap Karaoke telah melangkau tayangan di pawagam untuk dinikmati oleh masyarakat Malaysia di rumah masing-masing.
Penonton dapat duduk di rumah, bergelak ketawa bersama keluarga disamping menikmati kualiti filem sebenar seperti di pawagam.
Langkah ini sememangnya bertepatan dengan PKP yang masih dilaksanakan dan memasuki fasa ke-4 di negara kita.
Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, corak tontonan rakyat Malaysia telahpun berubah sejak PKP dan banyak aktiviti di rumah dihabiskan untuk menonton.
"Corak tontonan rakyat Malaysia berubah sejak PKP, banyak aktiviti di rumah dihabiskan dengan menonton. Mereka dahagakan filem-filem yang berkualiti dan segar, oleh yang demikian kami sentiasa berusaha untuk membawakan konten-konten terbaik buat penonton Astro ketika tempoh PKP ini.
"Manap Karaoke adalah sebuah filem komedi sarat dengan mesej positif yang boleh diambil sebagai teladan. Ia juga bertepatan dengan tema ramadan Astro ‘Indahkan Senyuman, Eratkan Jalinan’,.
"Astro Shaw mempersembahkan sebuah filem yang ada nilai hubungan persaudaraan serta mampu mengembirakan dengan lawak jenaka yang sesuai untuk tontonan setiap lapisan masyarakat," katanya.
Manap Karaoke mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Manap yang membuka perniagaan karaoke bergerak.
Manap akan berhadapan pelbagai ujian, namun yang pasti, banyak kisah lucu menanti anda dalam filem ini.
Manap Karaoke dibintangi oleh Joey Daud, Mona Allen, Ropie, Imuda dan ramai lagi. Dapatkannya di Astro First, saluran 480 sekarang!
Must-Watch Video