Acara Super Bowl tahun ini mengundang kecaman ramai kerana ribuan penonton yang hadir membanjiri Raymond James Stadium tidak memakai pelitup muka dengan betul dan tidak mematuhi penjarakan sosial.

Memetik laporan Daily Mail, peraturan mencegah wabak COVID-19 telahpun ditetapkan lebih awal seperti mengurangkan kapasiti penonton dan meminta semua yang hadir untuk memakai pelitup muka.

Namun, setelah acara bermula, semua peraturan itu tidak diendahkan oleh kebanyakan penonton.

Berdasarkan foto yang diambil ketika acara itu, ramai penonton bersorak gembira tanpa memakai mask dan juga yang hanya menyangkutnya di leher. Pada masa yang sama, ramai juga yang berdiri dalam jarak dekat tanpa penjarakan sosial.

Pihak CBS Sports pula tampil mengatakan jumlah penonton mungkin kelihatan lebih penuh kerana diselang dengan 30,000 potongan kadbod berbentuk manusia.

Mereka juga menekankan, seramai 7,500 daripada 25,000 penonton yang hadir itu merupakan kakitangan kesihatan yang telah divaksin. Mereka telah diundang ke acara bola sepak itu secara percuma sebagai tanda terima kasih atas jasa berkhidmat ketika pandemik ini.

Walaubagaimanapun, kenyataan itu tidak menghentikan protes rakyat Amerika yang menganggap acara itu akan menjadi penyumbang besar penularan wabak COVID-19.

Sumber : Daily Mail
Kredit Foto : Getty Images