Orang ramai digalakkan mengamalkan aktiviti bersukan dan gaya hidup sihat bagi mengelakkan tekanan dan kemurungan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata tekanan yang tidak dikawal dan diuruskan dengan baik boleh menjejaskan kesihatan secara keseluruhan terutamanya bagi mereka yang bekerja, lapor Astro Awani.

Katanya, bersukan juga mampu memberikan kesihatan yang baik dan menghindarkan penyakit serta masalah obesiti yang akhir-akhir ini agak meruncing dalam kalangan rakyat.

"Sukan juga berkait rapat dengan kesihatan mental. Sekarang, kesihatan mental merupakan salah satu teras Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebab satu daripada lima anak muda terkesan dengan anxiety (keresahan) dan dua daripada lima terkesan dengan depression (kemurungan).

"Apabila kita ada kesihatan fizikal yang cergas, kita akan baiki kesihatan mental kita sekali," katanya selepas merasmikan program Fit Malaysia Terengganu 2019 di Dataran Batu Burok hari ini.

Syed Saddiq berkata, program Fit Malaysia yang diadakan di Terengganu turut dihidangkan dengan kelainan acara seperti sukan tradisional dan Fun Go Green iaitu satu acara menyokong konsep baharu yang diterapkan oleh KBS.

Jelasnya, program itu berjaya menghimpunkan lebih 15,000 peserta dari seluruh Terengganu.

Katanya, pada tahun ini, Fit Malaysia digerakkan di seluruh negara jelajah seterusnya adalah di Pulau Pinang, Sabah dan Johor Bahru.

Sumber: Astro Awani