Masyarakat diminta bertenang sementara menunggu bekalan tambahan vaksin tiba di Malaysia tidak lama lagi, kerana semua sasaran pemberian vaksin adalah berdasarkan pada perbekalan yang ada, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

"Bertenang. Bekalan akan sampai nanti. Saya tidak simpan mana-mana vaksin. Vaksin itu sampai saya hantar...kita dapat pelepasan lot (vaksin) dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kita akan terus hantar pada negeri-negeri dan pusat pemberian vaksin (PPV) kita.

"Kita punya kadar penggunaan vaksin kini 90 peratus. 100 vaksin sampai, 90 akan diguna dalam tempoh beberapa hari. 10 tu ‘buffer’ sikit untuk janji temu akan datang," katanya dalam sidang media program pertama pemberian vaksin sektor pengangkutan dikendalikan Lembaga Pelabuhan Klang bermula hari Jumaat.

Khairy berkata, penggunaan vaksin yang mencecah 90 peratus itu menyebabkan terdapat negeri yang sudah tidak mempunyai bekalan vaksin yang banyak.

Sumber: Bernama