Berwajah Baby Face, Fimie Don ‘Terasa Hati’ Dikritik Tak Layak Bawa Watak Lelaki Dewasa! - "Macam Harry Potter, Sampai Sekarang ..."
30/11/2022 23:50 MYT
Pelakon Fimie Don mendedahkan yang masih ada dalam kalangan peminat yang memanggilnya dengan gelaran Hikayat Putera Shazlan, sungguhpun drama bersiri itu sudah lama ditamatkan siarannya iaitu sekitar 12 tahun lalu.
Fimie, 24, berkata, transisi fasa remaja ke alam dewasa merupakan fasa yang paling sukar terutama bagi dirinya yang bergelar pelakon sejak kanak-kanak.
“Dia macam Harry Potter. Sehingga ke hari ini, orang panggil Daniel Radcliff sebagai Harry Potter. Sama juga dengan saya, sampai sekarang orang panggil saya Hikayat Putera Shazlan.
“Abang Khir Rahman pernah beritahu, transisi kanak-kanak ke remaja dah selesai. Sekarang dari remaja ke dewasa tu yang susah. Sebab kalau kita tengok pelakon-pelakon kanak-kanak lain seperti Aedy Ashraf dan Shaheizy Sam pernah diam seketika sebelum buat comeback.
“Alhamdulillah, agak sukar untuk berada dalam posisi saya yang masih ada job. Tapi saya ambil kesempatan dalam fasa sukar itu untuk belajar lebih lagi berkenaan bidang lakonan,” katanya kepada Gempak.
Fimie berkata demikian ketika ditemui pada acara Viu Upfront 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fimie turut berkongsi yang dia kerap juga menerima kritikan daripada penonton yang mengatakan dia tidak sesuai untuk membawakan sesetengah watak yang memerlukan dirinya menjadi orang dewasa.
“Ada juga komen tak sesuai bila saya bawa watak dewasa. Kadang-kadang terasa juga. Muka saya agak tak sesuai jadi adult sebab agak babyface. Tahun ini, saya pernah bawa watak yang ‘tak sesuai dengan usia’ dan saya rasa saya dah jayakan watak itu dengan baik," katanya.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!