Penyanyi terkenal tanah air, Ziana Zain meluahkan rasa syukur kerana hasratnya untuk membuat konsert di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini tercapai.

Menurut Ziana, konsert Raya Sepanjang Zaman boleh diibaratkan sebagai mimpi dan juga satu pencapaian besar dalam kariernya.

“Best birthday gift ever! Sungguh… Hadiah ulang tahun paling bermakna sepanjang hidup saya.

“Saya menyambut usia saya 55 tahun dengan menyanyi dipentas berprestij bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

“Pentas yang saya idam-idamkan. Alhamdulillah tercapai juga akhirnya. Inilah yang dinamakan rezeki. Bila Allah dah tetapkan maka dapatlah bahagian rezeki saya.

“Saya tidak pernah berhenti berharap dan sentiasa berdoa bahawa satu hari nanti saya juga akan berdiri di pentas berprestij ini,” katanya ketika ditemui Gempak.

Mengulas mengenai persembahan, Ziana berkata apa yang menjadikan konsert itu lebih istimewa adalah dengan kehadiran penyanyi-penyanyi lagenda iaitu Datuk Hail Amir dan Sanisah Huri.

“Saya berasa sangat gembira kerana diberi penghormatan untuk berada satu pentas bersama dengan lagenda-lagenda yang saya hormati.

“Bagi saya ia adalah satu malam kenangan yang paling saya ingati, menyanyi bersama idola yang saya lihat persembahan mereka sejak kecil lagi.

“Saya berasa sangat bersyukur atas rezeki yang Allah berikan kepada saya,” ujarnya.

Selain Datuk Hail Amir dan Sanisah Huri, Bob Yusof juga merupanya penyanyi yang membuat persembahan.

Konsert Raya Sepanjang Zaman ini sememangnya memberikan nostalgia buat penonton yang hadir.

Lebih-lebih lagi seleksi lagu raya klasik dipilih juga merupakan lagu-lagu popular kegemaran ramai.

Antaranya lagu-lagu yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Datuk DJ Dave, Datuk M Nasir dan ramai lagi.

Antara lagu raya yang didendangkan adalah Seloka Hari Raya, Dendang Perantau, Bersabarlah Sayang, Menjelang Hari Raya, Aidilfitri, Indah Di Hari Raya, Cahaya Aidilfitri, Suara Takbir, Suasana Riang Di Hari Raya, Satu Hari Di Hari Raya dan Salam Dunia.