Pelakon Beto Kusyairy tidak berasa kecil hati apabila tiada tawaran daripada pihak produksi Studio Kembara untuk filem prekuel berkaitan Mat Kilau.

Tetap tenang disoal mengenai isu itu, Beto berkata dia tidak mempunyai hak untuk menentukan siapa yang akan terlibat dalam karya tersebut.

“Sebenarnya saya tak ada apa nak cakap fasal benda ini. Sebab semuanya adalah keputusan dan aturan pihak penerbit. Kita tak hak atau kuasa untuk tentukan terlibat atau tidak.

“Sebab keputusan itu bukan di tangan pelakon. Kita terima job pun atas tawaran, tapi tak ada tawaran, apa yang boleh kita lakukan.

“Jadi, saya pun tak ada apa… dah move on dan fokus dengan projek lain,” kata Beto kepada Gempak.

Beto ditemui ketika malam konsert minggu kelima Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) yang berlangsung pada Ahad di MBSA, Shah Alam.

Terdahulu, penerbit Studio Kembara Abdul Rahman Mt Dali mengesahkan pengarah Syamsul Yusof, pelakon Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy tidak akan terlibat dalam filem prekuel berkaitan Mat Kilau.

Abdul Rahman memberitahu perkara itu disebabkan watak Adi dan Beto tidak diperlukan dalam prekuel tersebut manakala ketiadaan Syamsul kerana ingin memberikan peluang kepada pengarah baharu yang berbakat.

Sementara itu, Beto memaklumkan dia tidak mempunyai masalah dengan pihak penerbit atau produksi malah akan memikirkan dahulu jika ada tawaran yang bersesuaian.

“Untuk pihak saya, I’m so professional, kerja okay… kalau ada tawaran ke tak ada ke, watak sesuai atau tidak, apa-apa pun kita move on saja.

“Kalau ada tawaran pun, bergantung kepada skrip. Saya kena tengok macam mana,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Beto turut memberitahu dia tidak tahu menahu tentang produksi itu akan membawa barisan pelakon Mat Kilau tunai umrah pada November depan.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.

Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!