Penyanyi popular Hollywood, Beyonce Knowles telah menerima Anugerah Kemanusiaan di Anugerah BET 2020.

Anugerah berkenaan telah diberi kepada penyanyi lagu Run The World itu oleh isteri bekas presiden Amerika Syarikat, Michelle Obama.

Memetik laporan Hollywood Life, Michelle berpendapat, Beyonce telah banyak berbakti menerusi Yayasan BeyGOOD yang telah membantu ramai golongan terkesan akibat krisis COVID-19.

Pada masa yang sama, Beyonce juga telah menggunakan pengaruhnya untuk memperjuangkan keadilan dan hak sama rata untuk golongan berkulit hitam di Amerika Syarikat.

"Beyonce sering melakukan usaha untuk membuatkan kita berasa lebih baik dan lebih berani.

"Dia melakukan semua itu disamping kehadiran anak-anak dan insan tersayang, apa yang boleh saya katakan, Beyonce telah memberi inspirasi kepada saya dan kita semua," kata Michelle dalam satu kenyataan.

Dengan penuh rasa terima kasih dan merendah diri, Beyonce tampil memberi ucapan atas kurniaan anugerah tersebut.

Dalam ucapan itu, Beyonce juga sempat menyeru orang ramai untuk berjuang menghentikan isu perkauman dan memilih pemimpin yang betul dalam pilihanraya akan datang.

"Saya mahu ucapkan ribuan terima kasih atas anugerah yang diberikan ini, saya mahu dedikasikan anugerah ini untuk anda di luar sana yang telah memberi inspirasi kepada saya.

"Ada satu lagi perkara yang kita harus lakukan, kita harus undi, saya menyeru anda semua untuk terus dengan tindakan ini, kita teruskan demi perubahan dan hapuskan isu perkauman dan sistem yang tidak adil," katanya.





Baru-baru ini, bekas anggota Destiny's Child ini juga ada menulis surat kepada Kentucky Attorney General untuk menuntut keadilan atas kematian wanita kulit gelap, Breonna Taylor yang ditembak mati oleh seorang pegawai polis pada 13 Mac 2020.

Beyonce juga lantang bersuara di media sosial sebagai platform untuk dia terus memperjuangkan keadilan.

Sumber : hollywoodlife.com