Sejak ditayangkan bulan lalu, drama bersiri I-Tanggang mendapat maklum balas yang memberansangkan dalam kalangan penonton.

Hal ini bukan sahaja kerana jalan cerita yang sangat menarik, malah lakonan mantap para pelakon yang terlibat dalam siri ini.

Menyorot kembali perwatakan setiap karakter, watak Esra lakonan Emma Sofea merupakan antara watak yang paling menonjol kerana disebabkan kebiadapannya dengan ibu dan bapa.

Dimanjakan dengan material mewah dan kebendaan menyebabkan Esra enggan ke sekolah dan memasang bercita-cita mahu menjadi bintang internet.

Mungkin ada yang beranggapan perangai Esra merupakan hal yang normal untuk anak manja, namun menurut Pakar Psikiatri & Pensyarah, Jabatan Perubatan Psikologi, Universiti Malaya, Dr Lim Poh Khuen, apa yang dipamerkan watak anak gadis itu boleh disimpulkan sebagai seorang individu yang mengalami Oppositional Defiant Disorder.

“Esra nampaknya menghadapi masalah tingkah laku mungkin kerana cara dia dibesarkan, atau mungkin tekanan yang dihadapinya. Dia bergantung pada media sosial untuk mendapatkan sokongan dan untuk mengekspresikan dirinya daripada dari ibunya.

“Selain itu, dia melarikan diri semasa dia berada di dalam kereta polis. Tingkah lakunya menunjukkan dia lebih kepada (menghidap) Oppositional Defiant Disorder,” katanya.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!