Gara-gara sikap biadab dan aksi jijik yang dilakukan di atas pentas oleh dua anggota The 1975 di Good Vibes Festival 2023 di Malaysia, persembahan band tersebut juga telah dibatalkan di Indonesia.

The 1975 dijadualkan membuat persembahan sebagai salah satu headliners dalam festival tahunan We The Fest yang berlangsung di Jakarta.

Namun penganjur mengambil langkah bijak apabila membatalkan penampilan mereka selepas vokalisnya, Matty Healy yang biadab termasuk bercium sesama jenis dengan pemain bass, Ross, serta mencabar undang-undang dan isu LGBT di Malaysia.

“Band ini tidak pernah mengambil keputusan untuk tidak tampil membuat persembahan.

“Tapi kerana situasi sekarang, pihak penganjur yang membatalkan pertunjukan mereka. Terima kasih kerana memahami,” ujar kenyataan yang dikeluarkan penganjur seperti dilaporkan Detik.com.

Ternyata keputusan yang diambil penganjur mendapat sokongan dalam kalangan peminat.

Ramai yang menyifatkan perlakuan band tersebut keterlaluan dan salah.

Selain Indonesia, persembahan The 1975 yang dijadualkan di Taipei, Taiwan juga dilaporkan telah dibatalkan.