Hiburan

“Biar Dia Belajar Dahulu, Lepas Itu Baru Fikir”– Farid Kamil Tak Halang Anak Berlakon

gempak
Mya Amri
24/10/2017
13:30 MYT
Sponsor Banner
“Biar Dia Belajar Dahulu, Lepas Itu Baru Fikir”– Farid Kamil Tak Halang Anak Berlakon
Pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba, Farid Kamil akui tidak menghalang anaknya, Muhammad, 3, untuk berlakon sekiranya berminat ke arah bidang seni.
Bagaimanapun kata Farid, dia lebih mengutamakan aspek pembelajaran terlebih dahulu sebelum membenarkan anaknya bergiat aktif dalam bidang seni.
“Saya tak halang dia nak jadi apa asalkan dia menjadi orang yang mampu menyumbangkan sesuati kepada negara, itu pun dah cukup pada saya.
“Andai kata Muhammad ingin masuk industri pun biarlah dia bersedia dari segala segi. Bagi saya perkara utama yang saya ingin terapkan adalah pelajaran.
“Selepas itu barulah kita fikirkan tentang perkara itu,” katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai Tombiruo, Farid menyatakan rasa bertuah kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada karakter filem hebat tersebut.
“Pada saya pembikinan filem ini diambil serius dan itu antara perkara yang membuatkan saya terima tawaran tersebut.
“Persiapan untuk filem ini juga melebihi enam bulan, bermula daripada perbincangan karakter sehinggalah penggambaran berlangsung.
“Saya rasa sangat bertuah kerana diberi peluang untuk terlibat dalam filem ini dan melakonkan watak sebagai Amiruddin,” ujarnya.
Selain Farid, Tombiruo juga turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Nabila Huda, Faye Kusairi dan ramai lagi.
Sinopsis:
Tombiruo yang memaparkan kisah aksi ini menceritakan tentang Ejim, lelaki bertopeng yang digelar sebagai Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai penunggu rimba. Kehadiran Tombiruo penuh misteri dan sering ditakuti serta dicaci oleh penduduk kampung.
Apabila Wong dan kuncu-kuncunya membuat kacau di kampung untuk meneruskan aktiviti empangan, satu insiden telah berlaku dan menimbulkan kemarahan Tombiruo. Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya.
Wartawan Wan Suraya yang mengikuiti perkembangan isu syarikat Tan Sri Berham turut mengikuti jejak Tombiruo. Wan Suraya dapat rasakan Tombiruo tidak membahayakan seperti diperkatakan.
Namun, apabila Amiruddin dan Tombiruo bertemu, mereka bertarung demi membela nasib orang-orang yang mereka sayangi. Dengan semangat dari hutan telah mengiringi kekuatan Tombiruo. Tetapi hakikatnya, sebuah rahsia di antara mereka berdua yang sudah lama tersimpan terbongkar. Apakah kaitan mereka berdua sebenarnya? Siapakah dalang di sebalik insiden yang berlaku selama ini?
Jangan lepaskan peluang anda untuk menonton filem ini di pawagam sekarang!
Foto: Instagram @faridkamilz
Teks: Mya Amri
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live