Gaya Hidup
"Biar Gagap, Biar Merangkak, Kerana Kesusahan Untuk Belajar Al-Quran Juga Ada Pahala Yang Besar" - PU Amin
Hari ini kita bukan sahaja menyambut Hari Ibu di seluruh dunia, tetapi yang lebih penting untuk umat Islam adalah hari ini merupakan Nuzul Al-Quran.
Dalam satu entri di Instagram miliknya, PU Amin turut berkongsi kelebihan membaca Al-Quran yang dapat memberikan manfaat kepada semua.
"Siapa yang boleh baca Al-Quran itu satu nikmat dan anugerah yang cukup besar. Bacalah selalu jangan tinggal walau sehari. Pada yang baru nak belajar, teruskan belajar jangan malu walaupun baru nak kenal huruf.
"Biar gagap, biar merangkak-rangkak untuk belajar, kerana kesusahan untuk belajar Al-Quran juga ada pahala yang besar. Kita usaha untuk betulkan bacaan, tak kira siapa pun kita, kita ummat islam wajib belajar Al Quran," kongsi PU Amin.
Tambah beliau, akan binasalah diri kita jika kita banyak belajar tentang urusan dunia, tetapi tidak ada masa untuk belajar tentang Al-Quran.
"Alhamdulillah, sekarang ramai yang sedar dan dah mula nak belajar Al-Quran. Ada live mengaji, ada rancangan tv tentang mengaji Al-Quran. Suasana Ramadhan menghangatkan lagi semangat kita untuk mula belajar dan kerap baca Al Quran.
"Biar susah di dunia, jangan susah nak menjawab depan Allah nanti. Inshaallah pelan pelan, pasti Allah mudahkan urusan untuk belajar Al-Quran. Nabi sebut sebaik baik manusia adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya," kongsi PU Amin lagi.
Beliau turut berdoa semoga kita semua tergolong dikalangan manusia yang terbaik di sisi Allah Swt dan semoga Allah SWT memasukkan kita ke dalam syurga-Nya dengan syafaat Al-Quran.
Kami Di Gempak ingin mengucapkan selamat menyambut Nuzul Quran kepada semua umat Islam, tidak kira di mana anda berada. Semoga kita mendapat hidayah dan keberkatan pada hari yang mulia ini.