Entah apa yang berada di kotak fikiran Aisar Khaled setiap kali dia menerbitkan kandungan di media sosialnya.

Jarang sekali kelakuan lelaki berusia 22 tahun itu menerima pujian. Sebaliknya, setiap kali dia muncul di Instagram mahupun TikTok, pasti berbakul kecaman dileparkan kepadanya.

Selepas menguis kewarasan khalayak dengan video solat di merata tempat, nama pelakon filem Hantu Kelima itu kembali panas dek sepotong video terbaharu yang dikongsinya.

Menerusi hantaran yang dibuat menerusi platform TikTok, Aisar dilihat melakonkan kembali rutin hariannya sebagai seorang bujang.

Namun, bagi menambah perisa kepada videonya itu, Aisar menggunakan duit dalam bentuk bongkah sebagai props video. Duit-duit itu diletakkan dalam peti ais, almari dan tempat meletakkan kasut.

Menerusi komen-komen yang ditinggalkan oleh netizen di laman Twitter, masing-masing mempersoalkan motif sebenar video berkenaan dihasilkan.


“Apa content dia sebenarnya ni? Kehidupan seorang bujang ke kehidupan seorang budak bangang?” tanya individu berkenaan.

Dalam pada itu, ada juga yang memberikan cadangan supaya orang ramai tidak memberi perhatian kepada kandungan-kandungannya pada masa akan datang.

“Cara-cara nak senyapkan mamat bodoh ni atau orang yang buat benda bodoh untuk viral ialah jangan layan, jangan RT, jangan like, jangan tweet apa-apa pasal dia. Biarkan dia membusuk dengan kebodohan dia,” katanya.

Terdahulu, Aisar teruk dikecam kerana dituduh cuba untuk meraih perhatian menerusi kandungan video dengan membuat rakaman dirinya menziarahi pusara arwah penyanyi Siti Sarah Raissuddin.

Bagaimanapun, Aisar telah mengakui silap dan memohon maaf atas kesalahannya itu.