Hiburan
Biarlah Jantina Anak Itu Menjadi Rahsia Sehingga Dilahirkan - Saharul Ridzwan
Pelakon Saharul Ridzwan menjelaskan meskipun usia kandungan isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir kini sudah memasuki lima bulan namun memilih untuk tidak mengambil tahu soal jantina anak mereka.
Saharul atau nama sebenarnya Saharul Ridzwan Hashim, 28, berkata, dia dan isteri memilih untuk tidak mengetahui jantina anak mereka meskipun doktor telah melakukan imbasan.
"Kami memilih untuk tidak mengetahui jantina anak kerana biarlah perkara itu menjadi tanda tanya buat masa sekarang.
"Kami sengaja tidak mahu tahu meskipun doktor sudah melakukan imbasan kerana inginkan kejutan semasa isteri saya melahirkannya nanti.
"Sebenarnya kami tidak kisah jika mendapat bayi lelaki ataupun perempuan kerana paling penting bayi yang bakal dilahirkan itu nanti sihat dan sempurna.
"Buat masa sekarang semuanya dalam keadaan baik dan sudah semestinya kami tidak sabar untuk menantikan kehadiran anak yang bakal dilahirkan itu," katanya kepada Astro Gempak.
Saharul berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama mini 12 episod Chor & Chah di Flora Terrace, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Saharul, dia dan isterinya bakal menimang cahaya mata sulung mereka pada bulan Jun depan.
Saharul dan isteri Deena Amir berkahwin pada 16 September tahun lalu.
Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi