Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan beliau melindungi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang mengupah 10 peguam bela dalam kes penderaan remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Tegasnya, dakwaan yang dibuat berdasarkan gambar beliau tular dengan tertuduh tidak berasas kerana sebagai pemimpin, beliau tidak mungkin menolak permintaan orang ramai untuk bergambar.

“Maka terpaksalah saya akui saya pernah membantu ramai individu sepanjang penglibatan dalam politik.

“Termasuk didatangi mereka yang meminta bantuan dan sumbangan kewangan untuk tujuan kebajikan.

“Namun saya sama sekali tidak akan melindungi sesiapa saja antara mereka itu jika didakwa terlibat dalam jenayah.

“Hanya dengan mengaitkan gambar saya dengan tertuduh juga tidak berasas, sebagai seorang pemimpin mana mungkin saya menolak permintaan sesiapa sahaja untuk bergambar,” katanya.

Zahid berkongsi kenyataan berkenaan dalam akaun Facebook rasmi miliknya pada Ahad.

Tegas Zahid lagi, beliau tiada kuasa untuk campur tangan dalam urusan mahkamah.

“Biarlah mahkamah yang menentukan kebenaran melalui proses perbicaraan yang adil dan saksama.

"Dakwaan saya cuba mempengaruhi mahkamah dalam perbicaraan kes Bella juga tidak masuk akal.

“Bagaimana saya boleh melakukannya walhal yang menuduh juga tentu tahu saya tiada sebarang kuasa berbuat demikian.

“Saya tidak berada dalam kerajaan untuk menekan pihak pendakwaan seperti yang dilakukan kerajaan 22 bulan,” katanya lagi.

Semalam tular foto sebahagian keluarga Zahid bersama Siti Bainun dan gambar itu menimbulkan pelbagai spekulasi.