"Biarlah, Malas Nak Layan"- Dituduh Gatal Sebab Cakap Soal Jodoh, Shila Amzah Tak Ambil Port
Penyanyi Shila Amzah enggan mengambil peduli dengan netizen yang menuduh dirinya sebagai miang dan tidak matang hanya kerana berkongsi soal mencari jodoh.
Menurut Shila, sebagai anak seni dia sudah lali dengan tohmahan yang sering dilemparkan kepada golongan artis sepertinya.
“Pada saya mereka semua ni memang sengaja, orang tanya kita jawab je. Saya ini sebenarnya dalam keadaan yang agak bahaya.
“Saya tidak boleh filter, jadi kadang-kadang ada orang yang mungkin suka, ada yang tak suka. Tapi pada saya, saya dah penat.
“22 tahun dalam industri, saya dah penat nak menepis-nepis. I had enough of that. Kalau saya kata ada, ada, kalau tak ada, tak ada. Simple.
“Jadi apabila saya diperkatakan begitu saya rasa dia macam dengki sahajalah, macam awak tak happy ke dengan hidup awak,” katanya.
Shila berkata demikian ketika ditemui pada majlis perlancaran drama terbaharu Astro Prima, Cinta Hilang Kata.
Turut dilancarkan juga adalah runut bunyi drama berkenaan berjudul Bahagiakan Dia nyanyian Shila dan Liza Hanim.
Dalam pada itu, Shila mengakui sedang melalui fasa bahagia dalam hidupnya walaupun masih belum berpunya.
“Saya hanya jujur, saya sangat gembira sekarang. Alhamdulillah, say berada dalam fasa yang best dalam hidup saya. I’m just enjoying it.
“Tapi kalau ada orang yang tak suka tu biasalah, mungkin hidup dia pun sedih. Tak mengapalah, biarlah. Saya pun malas nak layan.
“Sebenarnya saya sudah bersedia. Saya tak ada apa-apa soalan dalam dunia ini yang akan menakutkan saya,” ujarnya.
Shila juga menyatakan dirinya sangat terbuka untuk menjawab sebarang soalan diberikan netizen sekiranya dia membuka ruangan pertanyaan yang disediakan di platform Instagram.
“Mereka boleh bertanyakan apa sahaja kepada saya. Saya akan pilih keterbukaan saya sama ada 70 peratus hingga ke 50 peratus macam tu. Tetapi saya tetap akan menjawab.
“Selalunya saya akan skrol dan pilih secara random kerana soalannya terlalu banyak. Jadi bila dah terkena tu kita tengok sama ada okay atau tidak.
“Tapi kalau saya rasa benda itu saya boleh jawab, saya jawab sahajalah,” jelasnya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai soal jodoh, Shila tidak menolak sekiranya datang pada waktu yang tepat.
“Sebenarnya saya sangat terbuka. Kalau seandainya datang jodoh saya tiba-tiba, saya tidak pernah menidakkan atau menutup pintu hati.
“Sekiranya datang dalam waktu yang tepat, situasi yang tepat dan mungkin juga perasaan yang tepat, mungkin ia boleh terjadi.
“Saya tidak boleh nak menentukan siapa, bila, di mana. Saya akan memilih orang yang lebih bekerja keras daripada orang yang talented.
“Ini kerana orang yang bekerja keras akan melebihi orang yang talented bila dia bekerja keras. Jadi saya akan guna benda yang sama juga dalam kehidupan peribadi saya.
“Apa yang saya tidak mahu adalah orang yang tiada hala tuju dalam kehidupannya. Yang tidak tahu apa yang dia mahukan, yang tiada matlamat hidup, tiada misi dan visi kehidupan.
“Dan bila dia tidak boleh bertanggungjawab ke atas diri dia sendiri, tak mungkin akan bertanggungjawab ke atas orang lain,” tegasnya.
Terdahulu, Shila menerima kecaman netizen selepas menjawab beberapa soalan menerusi ruangan popular send me anonymous messages! di Instagram.
Menerusi perkongsiannya di Instagram Story baru-baru ini, Shila mendedahkan salah satu mesej yang dihantar menerusi ruangan tersebut menuduhnya gatal dan tidak matang.
Tidak cepat melenting, Shila bagaimanapun menafikan tuduhan negatif itu.