Aktor Datuk Farid Kamil akui watak dan karakternya yang dibawa dalam drama bersiri Pelindung Seorang Puteri berbeza berbanding apa yang pernah dibawakan sebelum ini.

Malah menurut Farid wataknya agak sukar kerana dia perlu split personalitinya kepada empat jenis.

“Bagi saya watak Saiful atau Epul ni paling susah yang pernah saya bawa.

“Bayangkan biasa kita pernah dengar manusia bertopeng dua muka tapi yang ini saya perlu split sehingga 4 karakter.

“Malah dia mempunyai split identity yang begitu jelas,” katanya kepada Astro Gempak.

Farid mengulas serba sedikit lakonannya dalam Pelindung Seorang Puteri yang merupakan Megadrama baru ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Pun begitu, Farid bersyukur kerana dia mendapat tunjuk ajar dari pengarahnya, Yusry Abdul Hali dan penerbitnya, Datuk Rosyam Noor tentang wataknya.

“Bula diberikan contoh oleh Yusry dan Rosyam mengenai bagaimana hendak membawa karakter itu secara tak langsung ia memudahkan saya.

“Yusry pula memang betul-betul pegang watak Saiful ini dengan teliti,” katanya lagi.

Drama 16 episod itu turut menampilkan pelakon seperti Lisa Surihani, Sharnaaz Ahmad, PU Riz , Zain Ruffedge, Jasmine Suraya dan ramai lagi.

Drama Pelindung Seorang Puteri mengisahkan Rose lakonan Lisa Surihani yang membawa diri jauh daripada keluarga setelah difitnah kerana sering diekori oleh pengendap misteri walaupun dia sendiri sebenarnya tidak pasti akan identiti pengendap misteri tersebut.

Adakah Firdaus (lakonan Zain Hamid), bekas kekasihnya yang masih menggilainya, Saiful (lakonan Farid Kamil), rakan sepermainan yang menyukainya sejak kecil atau Hazril (lakonan Sharnaaz Ahmad), kawan baik abang kandung Rose yang dalam diam meminatinya dari jauh.

Siapakah yang akan menjadi pelindung Rose daripada terus diganggu oleh pengendap misteri tersebut? Saksikannya dalam drama Pelindung Seorang Puteri.