Skip to main content

Kesihatan/Kesejahteraan

“Biasanya Orang Tua Yang Main TIK TOK Jiwa Mereka Kosong dan Mahukan Perhatian,” – Kaunselor.

intrend-main-1_1.jpg
Teks: Nor Hatina Shuib

Bukan saja muda- mudi sibuk berpesta Tik Tok di laman sosial, golongan warga emas juga tidak ketinggalan mewarnai laman sosial dengan aktiviti trend yang dianggap terkini  dan tidak ketinggalan zaman dengan pelbagai aksi dan gaya dianggap lucu.
 
 
Di sebalik, kelincahan gerak tari aplikasi  Tik Tok dimainkan golongan ‘ emas’ ini, masyarakat sebenarnya  terlepas pandang kenapa golongan berusia yang sepatutnya memperlihatkan tatasusila, sifat kematangan dan kesopanan mudah saja terjerumus dalam kancah aplikasi Tik Tok.
 
 
Tidak segan silu menggoyangkan pinggul, bergelek dan beraksi  menjengkelkan di laman sosial untuk tatapan umur, mereka ini sedar atau tidak tindakan  “tidak sepadan usia” itu agak keterlaluan ketika usia  berada di hujung senja.
 
 
Adakah  golongan ini sunyi di penghujung usia?  dambakan perhatian atau  sekadar mahu meneroka dunia baharu yang tidak dapat dikecapi pada zaman muda-mudi  mereka  satu ketika dulu  disebabkan sibuk  mencari rezeki  membesarkan anak?
 
 
Lantas, pada  usia ini mereka pula seolah-olah mahu  ‘ balas dendam’  dengan memilih  hiburan berlebihan setelah puluhan tahu mengharung cabaran dan ranjau  dunia. Mungkin ini antara faktanya.

 

Kredit foto: Google 


Depan Mata Penulis, Mak Cik Itu Terkinja-Kinja
 

Masih terbayang –bayang penulis satu insiden ketika berehat seketika di sebuah kafe  di sebuah pasaraya minggu lepas setelah  selesai  mencari pakaian sekolah anak. Tercengang melihat aksi bersahaja seorang wanita berusia lingkungan 65 tahun, rancak mengerakkan bahu dengan alunan suaranya yang agak kuat menyanyikan bait-bait lagu yang samar-samar didengari pada awalnya. 
 
 
Tepuk dahi penulis. Apa masalah nenek ini sebenarnya…

Sekilas pandang nampak ada  lucunya ketika  melihat  betapa ghairahnya si dia   bermain Tik Tok di khalayak ramai. Dua kali pandang , terasa sayu pula melihat tindakkannya itu tidak sepadan usia.
 
 
Tetapi setelah lama berfikir, penulis rasional kembali dan mengamati ‘makcik’  yang masih   menyanyi dan bermain aplikasi  Tik Tok  secara bersendirian.

Penulis yakin warga emas yang berseorangan itu mungkin ada masalah emosi, tertekan atau  mungkin saja-saja mencari hiburan diri.
 
 
Nampak janggal, tetapi kita tidak tahu apa masalah sebenar dia sehingga cenderung  beraksi begitu. Pada usia begitu, sepatutnya beliau lebih banyak memiliki kawan seusianya, mungkin beriadah bersama atau bertukar-tukar pengalaman dan kenangan hidup bersama rakan baik mahupun  keluarga tersayang.
 
 
Namun, siapa kita untuk menilai dia dari zahirnya saja  kerana kita  tidak berada dalam kasut yang sama? Semoga baik-baik saja ‘makcik’ yang menjentik penulis untuk membicarakan isu yang masih baharu ini…

 

Kredit foto: Google 

 
 
Apa Kata Pakar Mengenai Tabiat Ini?
 
Jom kita lihat  apa pula kata Kaunselor Berdaftar Universiti  Putra Malaysia(UPM), Puan Siti Fatimah Abdul Ghani berkenaan perkara ini.
 



Kenapa veteran bermain Tik Tok?
 
Inginkan perhatian dan ikut trend – Kongsi pakar kaunseling ini, golongan tua yang terjebak dengan aktiviti seumpama ini biasanya mempunyai  jiwa kosong  dan amat memerlukan perhatian insan terdekat.


Golongan ini sudah terlepas pandang tentang adat budaya  yang sepatutnya dijulang dan pastinya ia bersebab.
 
 
Katanya lagi, banyak perkara berfaedah yang boleh dilakukan dalam fasa usia ini. Hiburan dan jenaka itu tidak ada salahnya selagi ia  berpada-pada dan tidak melampaui batas moral serta adat  budaya.


Siti Fatimah berkata, selain jiwa  mereka kosong, terikut-ikut dengan ledakan teknologi maklumat dan di persekitaran sosial mula membenarkan minda mereka berkelakuan melampaui batas normal dan mahu dianggap ‘sporting’ walaupun sudah berusia lanjut.
 
 
Malah, tambahnya kemungkinan  keluarga atau persekitaran sosial mereka menerima gelagat itu sebagai hiburan menjadikan meraka tidak menganggap ia satu tindakan yang keterlaluan.


Jelas beliau, trend semasa yang dianggap ‘cool’ serta kelakar juga menjadi punca hal ini berlaku sehingga timbul rasa seronok pada kawalan minda mereka.
 
 
“ Ianya tidak salah jika terkawal dan sesuai dengan tempat. Jika berlaku di khalayak ramai, maka ia terlihat buruk dan kurang sesuai,” Ujanya.


Namun, beliau menyangkal persepsi yang mengatakan warga emas yang terdedah dengan aktiviti ini kurang kasih sayang.
 
 
“Tidak semestinya. Sebab personaliti berbeza meskipun sudah lewat usia. Ada juga yang anak-anak memberikan perhatian tetapi desakan dalaman dan keinginan untuk berhibur dan  aktif dalam alam maya itu melebih keperluan.


Ianya kehendak mereka sendiri,” katanya mengakhiri bicara.
 
 
Pesan beliau yang sudah lama terbabit dalam pelbagai bentuk kaunseling, mungkin ada daripada golongan  berkenaan  benar-benar kesunyian tetapi ia bukan cara yang tepat kerana ia hanya  mengundang celaan dan kecaman netizen.


Maka sebaiknya, lakukan hal yang lebih bermanfaat saat usia di penghujung dunia.

 


 
 
Panduan untuk  warga emas bersosial dengan aktiviti berfaedah elak kesunyian:
 
Antara aktiviti  yang boleh dilakukan bagi mengisi masa terluang adalah seperti:
  1. Pembelajaran sepanjang hayat tentang ilmu agama dan kerohanian secara bersendirian atau berguru.
  2. Melakukan hobi ringkas dan jimat tanpa perlukan modal serta tenaga  sepenuhnya  seperti berkebun, menjalani aktiviti komuniti, bersenam atau riadah santai, memasak, menziarahi sanak- saudara terdekat dan  melebihkan masa kepada aktiviti kekeluargaan. 
  3. Mempelajari kemahiran terapi emosi yang ringkas menerusi teknik zikir, selawat, tenaga alam serta relaksasi yang bersesuaian selain memberi fokus yang lebih kepada kesejahteraan emosi.
  4. Bercuti bersama keluarga mengikut kemampuan diri tanpa tekanan.
  5. Terus mencari dan mempelajari ilmu yang diminati untuk pedoman kehidupan lebih baik.

 

Must Watch Video

Advertisement