Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Shah Alam menetapkan 16 Mei depan bagi menyambung perbicaraan kes tuntutan mengubah perintah nafkah vokalis kumpulan Bunkface, Sam dengan bekas isterinya Aida Azira Hussin.

Hakim Syarie Shukran Yusof menetapkan tarikh itu selepas Aida, 36, selaku defendan selesai disoal balas beberapa soalan daripada peguam syarie Liyana Sihar yang mewakili Sam selaku plaintif.

"Perbicaraan kes bersambung lagi pada 16 Mei ini," kata hakim syarie itu.

Terdahulu, Sam menepis tuduhan Aida berhubung dakwaan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak tunggal mereka iaitu Maleeq, 7.

Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Baharum, 35, juga turut mengulas punca pindaan nafkah anak mereka dua tahun lalu, daripada RM1,300 kepada jumlah yang mampu dilunaskan yang mana ia berlaku ketika ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini kerana Sam mendakwa punca pendapatannya sangat terhad dan lebih dua tahun perniagaan terjejas.

BACA: “Apa-Apa Tanya Aida” - Kes Dalam Perbicaraan, Sam Enggan Komen Isu Nafkah

Terdahulu, pada 29 Mac lalu Sam dan Aida hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor bagi sebutan kes pindaan nafkah anak mereka.

Aida tidak bersetuju dengan permohonan dibuat penyanyi terbabit, selain meminta bukti andai tidak mempunyai pendapatan atau tawaran persembahan seperti dikatakan.

Sam mendirikan rumah tangga dengan Aida yang juga penerbit rancangan sebuah stesen televisyen pada 25 April 2015, namun bercerai empat tahun kemudian.