Pada Jumaat lalu, terjalin perkongsian strategik di antara Big Hit Entertainment (Big Hit) dan Universal Music Group (UMG).

Kedua-dua syarikat kini bekerjasama meningkatkan peluang seniman melalui inovasi dan teknologi sekaligus mengembangkan jangkauan global muzik dan budaya K-pop di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif UMG, Lucian Grainge berkata, artis di bawah pengurusannya akan meneroka komunikasi “direct to fan” yang disempurnakan melalui Big Hit’s Weverse, sebuah platform berasaskan komuniti dinamik.

“Platform itu membolehkan peminat untuk berkongsi, berinteraksi, melihat dan mendengar kandungan baru dan membeli produk baru. Weverse sudah digunakan oleh artis seperti Gracie Abrams, New Hope Club dan Alexander 23.

“Malah, Yungblud antara gelombang bakat seterusnya bergabung dengan Weverse dalam beberapa bulan mendatang. UMG juga adalah pelabur ekuiti bersama Big Hit, YG Entertainment dan Kiswe dalam platform pengstriman premium secara langsung VenewLive,” katanya.

Label yang baru itu akan beroperasi di Los Angeles dan akan bekerjasama dengan pasukan dari Big Hit America, Geffen Records dan UMG untuk melancarkan projek ini dengan jayanya.

Tambah UMG, melalui platform VenewLive, kedua-dua syarikat itu juga mengumumkan perincian menarik untuk mengumpulkan dan melancarkan kumpulan ‘boyband’ K-pop global baru bersama-sama di Amerika Syarikat buat pertama kalinya.

“Anggota kumpulan lelaki ini akan dipilih melalui program uji bakat global bermula 2022 ini, kami juga berkerjasama dalam proses penerbitan menyeluruh yang menggabungkan muzik, persembahan, fesyen, video muzik, dan komunikasi bersama peminat,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif,Interscope Geffen A&M, John Janick berkata perkongsian itu memberi mereka peluang luar biasa untuk bekerjasama membantu membentuk masa depan muzik di seluruh dunia untuk kebaikan artis dan peminat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Big Hit, Bang Si-Hyuk berkata, mereka benar-benar berkongsi nilai dan visi dalam bersama-sama melakukan inovasi secara berterusan dan komited untuk menyediakan muzik yang terbaik untuk peminat dengan tahap kualiti tanpa kompromi.