Suasana ceria dalam dewan di lokasi penganjuran Big Stage 2022 tiba-tiba bertukar menjadi ‘redup’ sebaik sahaja peserta program berkenaan, Aisha Retno mendendangkan lagu Kesetiaan nyanyian asal allahyarham Siti Sarah malam semalam.

Menyorot perhatian netizen pada waktu itu, sudah tentulah reaksi juri tetap Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dilihat tidak dapat menahan sebak sepanjang persembahan tersebut berlangsung. Berkali-kali dia menyeka air mata, tanda rasa sedih masih bersarang di hati.

Bertemu dengan Siti pada sesi sidang media Big Stage 2022, penyanyi nombor satu negara itu menjelaskan yang dia akan segera teringatkan allahyarham saat lagu tersebut dimainkan.

BACA: Siti Sarah Meninggal Dunia

“Saya tak bolehlah… kita tak nafikan yang arwah merupakan seorang yang sangat bagus. Dia bekerja keras, humble… Jadi, bila dengar lagu itu, automatik kita terus ingat suara dia, saya tak boleh dengar suara orang lain,” katanya kepada Gempak.

Siti Sarah, 37, meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur akibat COVID-19.

Sementara itu, Ajai selaku komposer lagu Kesetiaan yang turut dilihat sebak ketika memberikan komen kepada Aisha berkata, pemergian Sarah boleh disifatkan masih lagi baru dan banyak hal tentang masa lalu yang mengingatkannya kepada arwah muncul ketika persembahan tersebut berlangsung.

BACA: “Meninggalkan Suami, 4 Anak Termasuklah Bayi” PM Ucap Takziah, Turut Bersedih Pemergian Siti Sarah

“Pemergian dia bukan lama sangat pun, baru juga. Lagu itu memberi vibes flashback banyak benda pada arwah. Sesiapa sahaja yang nyanyi lagu tu akan membuatkan kita teringat. Datuk (Siti Nurhaliza) panggil saya terus nangis.

“Macam saya kata, nothing compares pada penyanyi asalnya. Tapi kita bagi support untuk new generation untuk nyanyikan lagu itu dengan cara tersendiri. Dan bercakap soal sebak, memang saya rapat dengan dia, Datuk Siti pun rapat. Tapi rezeki dia, satu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura sedekahkan Al-Fatihah untuknya,” ujar Ajai.

Dalam perkembangan lain, seramai 10 peserta yang bakal meneruskan perjuangan menerusi Big Stage 2022. Peserta-peserta tersebut ialah Tuah Adzmi, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Megat Rahim, Ajoi Zainal, Sofiaa Marieylla, Tegar Septian, Syafiq Abdillah dan Aisha Retno.

Big Stage 2022 bersiaran bermula 6 Februari di Pusat Konvensyen, Antarabangsa Putrajaya (PICC) menerusi saluran Astro Ria (104).