“Ramai yang speku saya kena COVID-19, tapi tidak ya. Saya food poisoning sebenarnya,” begitu jawapan Daniel Chuer selepas ditanya kenapa dia tidak membuat persembahan pada konsert minggu kedua Big Stage 2022 dua minggu lalu.

Menurut Daniel, 21, keadaan kesihatannya merosot pada hari Jumaat iaitu dua hari sebelum dia dijadualkan untuk membuat persembahan.

“Saya sendiri tidak tahu kenapa saya boleh kena keracunan makanan. Mungkin makan tak ingat dunia… Sehinggalah hari Jumaat itu saya dah mula rasa tak sedap badan.

“Esoknya, iaitu hari Sabtu, keadaan kesihatan saya menjadi lebih teruk dan pada Ahad saya memang tak mampu untuk membuat persembahan.

“Jadi, saya pergi berjumpa dengan doktor untuk meminta nasihat dan doktor kata saya memang tidak fit untuk menyanyi,” ujar Daniel kepada Gempak.

Daniel sepatutnya menyanyikan lagu Gila nyanyian asal Kaka Azraff dan Loca B serta Noki pada konsert minggu kedua Big Stage 2022.

Daniel menjelaskan, dia berasa sangat sedih dan menangis kerana tidak dapat melunaskan tanggungjawabnya sebagai peserta program berkenaan pada minggu berkenaan.

“Jujurnya saya sedih sampai menangis bila tengok live show malam tu. Saya dah sedia sebaiknya sebab lagu yang sepatutnya saya nyanyikan iaitu Gila memang lain daripada lain sebab saya sendiri tidak pernah membawakan lagu itu.

“Justeru, selepas meeting dengan production dan mereka membenarkan saya membawakan lagu berkenaan untuk minggu depan (minggu ini), rasa kecewa dan sedih tu terus hilang,” katanya lagi.

Ditanya pula mengenai dirinya yang dilihat terlebih yakin di atas pentas, Daniel berkata, ia hal yang biasa dilalui sejak menyertai pertandingan nyanyian beberapa tahun lalu.

“Saya tak nafikan hal itu, sebab kadang-kala bila kita nyanyi di atas pentas, rasa gementar akan menguasai. Perasaan kita pula akan kawal diri kita 100 peratus sehingga jadi overconfident.

“Hal seperti ini kerap berlaku terutama apabila membuat persembahan dan ia bukanlah yang pertama. Saya sudah alami sejak beberapa tahun lalu ketika saya aktif masuk pertandingan menyanyi.

“Saya harap apabila orang sedar yang saya overconfident, saya sendiri akan sedar supaya saya tidak berlebihan. Keyakinan itu perlu tetapi ia perlu berada di tengah-tengah supaya seiring dengan persembahan,” katanya menutup perbualan.

Dalam perkembangan lain, seramai 10 peserta yang bakal meneruskan perjuangan menerusi Big Stage 2022. Peserta-peserta tersebut ialah Tuah Adzmi, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Megat Rahim, Ajoi Zainal, Sofiaa Marieylla, Tegar Septian, Syafiq Abdillah dan Aisha Retno.

Big Stage 2022 bersiaran bermula 6 Februari di Pusat Konvensyen, Antarabangsa Putrajaya (PICC) menerusi saluran Astro Ria (104).