Berita
Bigo Live Pelacur Media Sosial
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) digesa menyiasat aplikasi Bigo Live dan mengambil tindakan segera mengharamkan penggunaan aplikasi tersebut.
Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara semalam berkata aplikasi berkenaan dianggap sebagai 'pelacur media sosial' yang memberi ancaman kepada generasi muda, terutamanya pelajar sekolah.
Katanya aplikasi yang berbentuk 'live streaming' itu semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengguna media sosial kerana fungsinya yang membolehkan pengguna berinteraksi secara langsung seperti berkenalan dengan rakan baharu atau meluaskan perniagaan mereka.
"Apa yang menyedihkan ialah rata-rata pengguna media sosial menyalahgunakan Bigo Live yang bertujuan menjatuhkan moral dan dikhuatiri boleh mengundang masalah sosial yang teruk pada masa depan," katanya.
Mustapa berkata penonton aplikasi itu begitu ghairah memberi 'hadiah' kepada pemilik akaun Bigo Live yang dengan mudah menayangkan 'aset' mereka, termasuklah aset yang tidak sesuai untuk ditayangkan.
"Ia semakin membimbangkan apabila ada antara mereka memberi komen lucah dan mahukan lebih daripada apa yang ditayangkan dan perkara ini mengundang ketagihan kepada pengguna dan akhirnya menjebakkan diri kepada perkara tidak sihat," katanya.
Aplikasi ''Bigo Live'' yang dibangunkan syarikat dari Singapura mempunyai pengikut terutamanya dari negara Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina itu, memberi pendapatan kepada pemilik akaun menerusi 'hadiah' yang diterima sepanjang waktu siaran langsung itu
Katanya teknik pemasaran seperti itu menarik minat pengguna aplikasi itu untuk mendapatkan seberapa banyak 'hadiah' daripada penonton.
Sumber Bernama
Must-Watch Video