Naufal Azrin diumumkan menjadi bintang kedua yang tersingkir di konsert ketiga Big Stage 5.

Naufal sebelum ini pernah diselamatkan juri dari tersingkir dengan mengguna Imuniti X, bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya minggu ini.

Minggu ketiga ini juga menyaksikan bintang dari Indonesia, Waode berada di kedudukan pertama dengan markah tertinggi sebanyak 90.67%.

Sementara itu, Putera Muhammad dinobatkan sebagai pemenang anugerah Dominasi Persembahan Terbaik, hasil pilihan juri-juri profesional dan membawa pulang wang tunai RM3,000.

Bertemakan Asmaraloka, 12 bintang Big Stage 5 diadili oleh juri tetap Ajai dan Aina Abdul serta juri jemputan, Ernie Zakri.

Pentas Big Stage 5 diserikan lagi dengan kemunculan pelakon, Mierul Aiman sebagai Presiden Netizen.

Di bawah merupakan kedudukan peserta berdasarkan markah oleh juri profesional dan komen-komen yang telah diberikan:


1. Waode (90.67%) - Sang Dewi


“Penampilan kemas, nyanyian juga kemas tapi boleh diketatkan lagi terutamanya note-note yang kamu ubah. Saya boleh puji kamu sebab kamu selalu bawa lagu macam lagu kamu sendiri. It’s good,” - Aina Abdul

“Saya berikan pujian, jadilah seorang penyanyi yang ambitious, bertandinglah seperti tiada hari esok,” - Ernie Zakri


2. Putera Muhammad (86.67%) - True Love


“Kelebihan kamu adalah wide range, cuma dia akan jadi best tak best adalah lagu. Kelemahan awak saya tak nampak, adalah satu dua tapi itu normal. Apa yang ada pada kamu adalah pemberian, kamu bila tinggi lagi sedap, apa yang buat markah kamu lebih adalah lagu sedap tak sedap. Saya cabar awak jadi lagu Teguh,” - Ajai

“Saya menangis tadi sebab rasa itu sampai. Sedap dik, terbaik,” - Ernie Zakri



3. Nadeera Zaini (79.33%) - Rahmatun Lil’alameen


“Saya harus puji vokal kemas, note cantik nafas cantik tetapi mungkin kerana faktor lagu kurang dapat kita saksikan klimaks yang kita tunggu. Tadi tu dia lambat sikit tapi tak mengapa saya faham apa kesukaran itu, minggu hadapan bagi lagi," - Aina Abdul.


“Tidak dinafikan awak memang penyanyi yang hebat, cuma sebutan itu boleh diperbetulkan lagi,” - Ernie Zakri

“‘Memang tak ada masalah, mula-mula lagi lagu itu sudah bagi klimak. Kadang-kadang awak jangan harapkan yang tinggi. Improvise sedikit, jadi nampaklah kelainan dia,” - Ajai



4. Hoondoo (76.00%) - Can’t Help Falling In Love


“Saya benar-benar suka cara anda memulakan lagu tersebut. Note yang pertama adalah sangat penting dan Hoon awak berjaya lakukan. Nada tinggi itu buat saya meremang. Doo anda juga bagus” - Aina Abdul


5. Farhan Shah (71.00%) - Dari Mata


“Minggu lepas 49 minggu ini 55, note pertama redah. Jadi tolong beri perhatian sebab tadi awak sibukkan posisi awak. Saya rasa itu tidak penting, yang penting adalah note pertama. Cara kamu nak dapatkan rentak dalam diri adalah beat, lock benda ni pembelajarannya,” - Ajai


6. Puteri Khareeza (66.33%) - Satu


“Banyak perbezaan dengan minggu lalu, dari 23 ke 65, jadi bila kamu faham maksud lagu secara automatik nyanyian kamu tidak teragak-agak. Ini maksudnya pembelajaran yang tepat,” - Ajai

“Saya rasa ada sesuatu yang hilang dan saya mahu anda cari apa yang hilang itu,” - Aina Abdul


7. Aufahanie (65.00%) - Anugerah Terindah


“Ada banyak juga yang flat tapi kekuatan yang saya dapat lihat pada kamu adalah apabila kamu dapat tangkap benda itu, dia jadi sedap itu yang saya kena puji. Kamu kena cepat tangkap, kamu masih lagi ketakutan. Kamu kena buang sebab bila takut macam-macam boleh jadi. Saya nampak potensi kamu sebab saya rasa pembawakan feeling kamu saya dapat rasa lain dari yang lain,” - Ajai


8. Dem Lepak Boyz (64.67%) - Inikah Cinta


“Minggu lalu 21 dan minggu ini 50, prestasi. Cuma tadi ada insiden, tak mengapa, take it easy, itulah penghibur yang penting fokus. Zaidy ada tone yang sedap, apabila kamu faham jadi feeling tone kamu itu lunak. Hazel lambat panas tapi apabila part yang kena feeling kamu akan kedengaran sedap. Jadi lock kan kesedapan masing-masing, inilah masanya kamu kenal apa kesedapan suara sendiri,” - Ajai


9. Firdaus Rahmat (64.00%) - Diari Seorang Lelaki


“Saya suka, persembahan ini bersahaja, vokal awak saya suka, kalau awak buat full album saya nak dengar semua lagu. Tolong bagi extra lagi minggu depan,” - Ernie Zakri


10. Naufal Azrin (62.33%) - Only


“Saya puji look awak, ada karakter. Lagu ini melodi dia sweet. Cuma saya mengharapkan ada groove.
Yang lain akak love akak like,” - Ernie Zakri


11. COEX (58.33) - Touch


“Saya hargai bahagian pertama, setiap daripada kamu ada tone yang menarik. Ada yang boleh diasah, jangan simpan. Kreativiti memang senang boleh dapat markah penuh dari saya tapi vokal sangat penting. Brush up lagi, dalam pertandingan vokal itu penting,” - Aina Abdul


12. Meer Nash (57.33%) - Hari Ini


“Saya harus puji verse pertama, tenang dan relax tapi saya mahukan lebih, persembahan sweet bersahaja tetapi mungkin letak lebih lagi elemen pertandingan dari sudut arrangement dan sebagainya,” - Ernie Zakri

“Ada nampak prestasi, tapi apabila muzik penuh dia jadi jatuh, jadi kamu perlu lebih pada suara dan penghayatan. Kamu ada pakej, guna apa yang ada pada kamu,” - Ajai

“Awak selalu ketat dekat note atas nanti belajar dengan cikgu Syafi macam mana nak longgarkan nyanyian terutamanya note tinggi,” - Aina Abdul

*******
Dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose, Big Stage 5 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 10 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh di strim di aplikasi Astro Go.

Big Stage 5 juga turut menampilkan Aina Abdul dan Ajai sebagai juri tetap dan akan dibantu juri jemputan setiap minggu.

Bintang yang masih bersaing dalam Big Stage 5 adalah Firdaus Rahmat, Meer Nash, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.

Bintang luar negara pula ialah Farhan Shah (Singapura), HoonDoo (Korea) dan Waode (Indonesia).

Manakala bintang yang tersingkir adalah Isaac Voo (minggu kedua) dan Naufal (minggu ketiga).

Sepanjang penganjuran, Big Stage telah menobatkan empat juara iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan terbaharu, Elica Paujin (2022).

Untuk info: Big Stage 5 masih mengekalkan format asal penjurian yang terbahagi kepada dua bahagian.

Persembahan mereka akan diadili 100% daripada pemarkahan oleh barisan panel juri yang akan dilakukan secara langsung di skrin LED untuk tontonan umum.

Tiga bintang yang mendapat markah terendah akan melalui proses penjurian kedua yang ditentukan berdasarkan undian peminat secara online menerusi laman rasmi www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK.