Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

#BIGSTAGE5: “Saya Perlu Adil” - Nadeera Rupanya Ex Housemate! Aina Abdul Tegas, Tak Pilih Kasih

Mya Amri
08/05/2023 07:55 MYT
Juri tetap Big Stage 5, Aina Abdul bersikap adil dan tegas dalam mengadili kesemua bintang yang bertanding.

Secara tidak langsung Aina menepis dakwaan yang mengatakan dirinya pilih kasih hanya kerana bintang Big Stage 5 iaitu Nadeera Zaini merupakan bekas teman serumahnya suatu ketika dahulu.

“Sebenarnya sewaktu penjurian saya cuba tunjukkan tiada unsur ‘favouritism’. Mungkin sebab itu ada pihak yang tak puas hati dengan markah yang saya beri kepada Nadeera.

“Saya merupakan individu yang lebih dahulu mengenali Nadeera berbanding orang lain. Kalau dia tidak menyanyi di pentas, saya akan dengar dia menyanyi di tandas atau dapur.

“Kami berdua tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing. Jadi untuk Nadeera saya perlu adil. Sebab saya rasa dia boleh buat yang lebih baik daripada ini.

“Jadi markah yang saya berikan itu bukanlah datangnya daripada seorang bekas teman serumah tetapi sebagai rakan seperjuagan.

“Saya rasa kalau kami bertukar tempat sekali pun, perkara yang sama tetap akan berlaku,” katanya ketika ditemui Gempak.

Tambah Aina lagi, mereka masih lagi berkawan namun bersikap profesional apabila melibatkan hal kerja.

“Saya tahu momen ini akan tiba dan dia juga ada bercakap dengan saya sebelum pertandingan ini berlangsung.

“Kami tetap akan bersikap profesional. Kawan tetap kawan namun pertandingan juga tetap pertandingan. Saya kena sama rata dengan bintang lain.

“Kalau yang lain itu lagi bagus, kita kena bagi markah bagus. Saya harap peminat Nadeera dan saya yang memang mengikuti kami sejak program sebelum ini, jangan ambil hal ini di luar konteks Big Stage.

“Ini secara keseluruhannya untuk Big Stage dan juga untuk kebaikkan Nadeera sendiri. Sebab format kali ini sangat adil.

“50 peratus untuk vokal dan 50 peratus lagi untuk kreativiti. Tidak ada lagi 70 peratus dan 30 peratus,” jelasnya.

Dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose, Big Stage 5 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 10 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh di strim di aplikasi Astro Go.

Big Stage 5 juga turut menampilkan Aina Abdul dan Ajai sebagai juri tetap dan akan dibantu juri jemputan setiap minggu.

Bintang yang bersaing dalam Big Stage 5 adalah Isaac Voo, Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.

Manakala bintang luar negara pula adalah Farhan Shah (Singapura), HoonDoo (Korea) dan Waode (Indonesia).

Sepanjang penganjuran, Big Stage telah menobatkan empat juara iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan terbaharu, Elica Paujin (2022).


#Juri #Aina Abdul #Nadeera Zaini #Big Stage 5 #BIGSTAGE5