RANCANGAN

#BigStageAlpha: Ray-D Berhenti Belajar Sebab…

19/06/2025 | 06:55 MYT
Bintang Big Stage Alpha (BSA), Ray-D meluahkan rasa syukur apabila berjaya melangkah ke pentas akhir pertandingan tersebut dan secara rasmi debut sebagai ahli kumpulan, A7PHA.
Namun di sebalik pencapaian membanggakan itu, Ray-D atau nama sebenarnya Ariff Hilmy Muhammad Amir mendedahkan dia pernah melalui fasa sukar dalam hidup selepas terpaksa berhenti daripada menyambung pengajian.
“Ada benda personal yang terjadi sebab itu saya berhenti belajar tapi macam saya cakap rezeki Allah itu sangat besar.
“Selepas saya berhenti belajar automatik Big Stage Alpha punya audition keluar, sebab selepas saya berhenti tu saya sedikit lost sebenarnya tapi rezeki Allah itu tidak salah alamat, saya dapat berada disini sehingga lapan minggu dan bergelar naib juara,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, meskipun baharu sahaja mahu memulakan kembali langkah dalam industri seni penyanyi berusia 20 tahun itu tetap menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian.
Menurut Ray-D, dia menganggap menuntut ilmu adalah proses yang tidak akan pernah berhenti.
“Kalau tanya saya masih mahu sambung belajar, jawapan saya pasti ya. Sebab saya nak menuntut ilmu sebab saya rasa kita ni tak akan pernah pandai.
Walaupun kita berada di atas kita masih perlu belajar. Jadi saya memang akan sambung belajar juga selepas ini,” kongsinya.
Terdahulu, Ray-D berjaya bergelar Naib Juara Big Stage Alpha sekali gus menjadi salah seorang ahli kumpulan, A7PHA.
Kemenangan itu, memberikan Ray-D untukmembawa pulang wang tunai bernilai RM20,000.