#BigStageAlpha: Syafeek Ikhwan Reda Tersingkir Awal - “Mungkin Saya Tak Ditakdirkan Terkenal"
Peserta Big Stage Alpha, Syafeek Ikhwan meluahkan rasa sedih selepas tidak berjaya meneruskan perjuangan.
Bagaimanapun Syafeek atau nama sebenarnya Muhammad Syafeek Ikhwan Ghazali reda dengan keputusan tersebut.
"Saya mulakan karier dalam pertandingan besar pada 2015. Lebih kurang 10 tahun tetapi masih tak naik-naik nama Syafeek Ikhwan ini.
"Kadang-kadang saya terfikir juga mungkin saya memang ditakdirkan untuk tidak terkenal ke?
"Tapi saya sejenis orang yang tidak mahu mengalah. Perasaan sedih itu ada tetapi bila difikirkan semula apa yang saya dapat kalau saya berhenti menyanyi?," katanya kepada Gempak.
Syafeek berkata demikian ketika ditemui di sidang media Big Stage Alpha yang diadakan di Royal Theatre Shah Alam, Selangor pada malam Ahad.
Pelantun lagu Lafaz itu berkata, dia menerima keputusan penyingkiran tersebut dengan hati terbuka, namun tetap berasa kecewa kerana merasakan dirinya telah menghampakan para peminat yang setia menyokongnya sejak awal perjalanan seninya.
Tambahnya lagi, dia berasa terharu kerana melihat usaha peminatnya yang sanggup berhabis semata-mata mahu menunjukkan tanda sokongan terhadapnya.
"Adat pertandingan memang akan ada yang menang dan kalah, cuma tak sangka perjalanan saya akan terhenti (penyingkiran) seawal ini.
"Apa lebih mengecewakan bila saya tengok peminat yang bersusah payah datang, siap tempah baju dan bawa sepanduk. Saya rasa kenapa saya perlu susahkan mereka sedangkan tak ada apa-apa hasil untuk saya berikan kepada peminat.
"Saya kecewa bukan kerana tersingkir tetapi lebih kepada sudah menghampakan sokongan diberikan peminat," ujarnya.
Pada masa sama, penyanyi yang berusia 37 tahun itu menyatakan dia tidak akan berputus asa untuk terus berkarya dalam bidang muzik.
Jelasnya, sejak kecil lagi dia sudah terbiasa hidup susah membuatkan dirinya tidak pernah mengalah untuk menggapai impian.
"Semangat ini mungkin datang kerana saya lahir dalam keluarga susah. Saya dah biasa hidup susah dari kecil, pernah disisihkan kawan-kawan kerana saya bukan anak orang kaya.
"Kesusahan itu membuatkan saya belajar untuk menjadi kuat dalam apa jua keadaan.
"Ibu saya pun selalu pesan kalau jatuh sekali, kita jangan bangun sekali sebaliknya kita bangun 10 kali. Itu yang saya pegang sampai hari ini," katanya.
Selain Syafeek, lima lagi peserta tidak berjaya ke pusingan 'The Big 12' termasuk Suff Ahmed, Apich Lo, Alif Azri, Shaqeen dan Ridhwan Azman.
Untuk minggu pertama, 18 peserta BSA diadili oleh juri tetap iaitu Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini serta juri jemputan, Krisdayanti.
Big Stage Alpha yang dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose bersiaran secara langsung dari Shah Alam Royal Theater selama lapan minggu
Big Stage Alpha pada setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan turut distrim melalui Astro GO dan sooka.
Saksikan melalui Astro Ria, Astro GO, Astro Gempak dan sooka. Langgan Pek Astro One dengan hanya RM49.99/sebulan.
Strim Senang Hati, Hiburan Tanpa Henti Untuk Seisi Keluarga.
Tingkatkan pengalaman penstriman dengan menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan dengan hanya RM139.99/sebulan.
Untuk melanggan atau menaik taraf ke Astro One, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838.