Nak letak gambar Makcik Puaka, memang tak dapatlah, kan! Jadi kita letak gambar orang yang bertanggungjawab untuk membawa siapa di sebalik nama Makcik Puaka ke muka pengadilan.

Entahlah, daripada dulu lagi saya selalu dengar pesanan orang-orang tua, kalau mahu letakkan nama anak, letaklah nama yang baik-baik supaya panggilannya nanti jadi satu doa.

Kalau nak guna nama manja atau samaran sekalipun, pilih yang elok supaya tak lekat perkataan-perkataan yang tak sedap didengar. Tapi yang dipilihnya Makcik Puaka!



Puaka ni selalunya dikaitkan dengan hantu syaitan! Mungkin itukah yang ingin digambarkan oleh pemilik akaun Instagram tersebut? Supaya senang untuk bercerita gosip atau perkara-perkara yang boleh menjatuhkan fitnah kepada golongan selebriti? Supaya dia memang nampak jahat?

Entahlah. Fikir banyak kalipun tak dapat jawapannya. Yang pasti kali ini dia mungkin tidak terlepas lagi dengan sewenang-wenangnya membuat 'cerita' hanya berdasarkan apa yang dia dengar, atau dapat atau kongsikan di Instagramnya yang sudah tidak wujud itu.



Kalau sebelum ini selebriti-selebriti lain yang ingin menyaman netizen dan sebagainya sedia menerima permohonan maaf sekadar melalui Instagram, tapi Dato' Fizz Fairuz mengambil langkah yang lebih 'keras' lagi.

Beliau tidak mahu permohonan maaf secara bertulis. Beliau mahu secara lisan atau berdepan. Beliau sendiri mahu melihat siapakah orang atau orang-orang di sebalik nama Makcik Puaka itu. Walaupun sekadar bertentang empat mata atau mungkin lebih.



Ramai juga berharap dapat melihat wajah Makcik Puaka apabila Fizz Fairuz mahu jumpa berdepan pada sidang media dan menolak permohonan maaf Makcik Puaka pada Insta Story nya. Selamba je, buat fitnah lepas tu minta maaf di Insta Story? Mudahnya!

Apatah lagi apabila Fizz memberitahu bahawa 70% indentiti pemilik Instagram Makcik Puaka itu sudah dikenali dan merupakan orang di dalam industri juga. Lagilah ramai yang ingin tahu!

Maka berteka-tekilah semua termasuk saya, siapakah golongan orang dalam industri itu. Pelakon? Penyanyi? Wartawan? Orang di belakang tabir? Dan ianya akan terus menjadi teka teki sehinggalah kes ini selesai.



Tetapi Dato' Fizz Fairuz tetap memberi peluang kepada Makcik Puaka untuk menjaga aibnya dengan membenarkan permohonan maaf secara lisan atau bertemu dengannya tanpa perlu di sidang media.

Menurut Fizz, tidak kisah kalau Makcik Puaka membuatnya secara peribadi tetapi dia mahu dengar sendiri permohonan maaf itu, sama ada melalui telefon ataupun datang berjumpa dengannya.

Entah puaka apa yang meresap ke dalam badan Makcik Puaka, dia hanya berdiam diri walaupun telah diberi tempoh oleh Fizz mengikut nasihat peguamnya.



Demi menjaga nama baiknya, Fizz meneruskan tindakan dengan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul. Menurut Fizz, beliau sudah menyerahkan bukti kukuh kepada pihak berkuasa untuk memudahkan siasatan dan semuanya terserah kepada pihak berkuasa.

Untuk kita sekarang, kita tunggu dan nantikan sahaja hasil siasatan kerana Fizz juga mengikut nasihat peguamnya tidak dapat berkongsi butiran lanjut tentang laporan yang dibuat.

Jadi siapakah Makcik Puaka? Adakah dia merupakan individu atau sekumpulan orang di belakang nama tersebut? Kita nantikan sahaja! Wah! Berpuluh kali juga saya tulis nama Makcik Puaka dalam satu artikel ini.

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Instagram

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.